APABILA bergelar seorang da’ie, maka tidak dapat tidak keperibadiaannya juga mesti seperti seorang da’ie. Da’ie perlu memiliki akhlak dan tingkah laku yang terbaik kerana mereka sudah menjadi ‘role model’ kepada ajaran Islam itu sendiri. Mereka juga umpama jelmaan Islam yang bergerak. Apabila baiknya sahsiah seseorang da’ie, maka baiklah Islam pada pandangan masyarakat.
Oleh itu, terdapat beberapa akhlak yang perlu dipamerkan oleh seseorang yang bergelar da’ie:
1) Bersifat benar
– Benar yang dimaksudkan ialah membenarkan kalimah syahadah yang diucap. Oleh itu, orang yang benar akan mentaati perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Da’ie juga perlu sentiasa berkata benar dan tidak menipu dalam menyampaikan Islam walaupun sekadar gurauan.
2) Seorang yang sabar
-Seorang yang bergelar da’ie tidak terlepas daripada dibenci, dihina, dimalukan dan sebagainya. Justeru itu, seorang da’ie perlu memiliki tahap kesabaran yanng tinggi. Nilai kejayaan menghadapi ujian itu dikira berdasarkan tahap kesabaran yang tinggi.
Hadith Rasulullah SAW bermaksud,
“Orang beriman yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas kerenah mereka, lebih baik daripada mereka yang tidak bergaul dan bersabar atas kerenah mereka”
(HR Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi)
3) Mengasihi
-Da’ie mestilah memiliki rasa kasih terhadap mad’u serta jangan sikap marah, benci atau dendam dengan mad’u.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
“Sesiapa yang tidak menghormati dan mengasihi, maka dia tidak akan dihormati dan dikasihi.”
(HR Bukhari dan Muslim)
4) Bersifat tawadhu’
-Tawadhu’ bermaksud merendah diri atau hidup dalam kesederhanaan dan tidak sombong. Sikap merendah diri akan menyebabkan orang sekeliling tertarik dengan peribadi kita dan mudah mendekati mad’u. Tawadhu’ bukanlah bermaksud memakai pakaian yang comot atau selekeh sebaliknya bermaksud tidak berbangga dengan apa yang ada.
5) Bersosial
-Da’ie hendaklah mengamalkan hidup bermasyarakat dan bercampur gaul. Ia menjadi suatu kemestian kepada pendakwah untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Bergaul juga membantu mengetahui perkembangan semasa dan mengenali ragam manusia. Akan tetapi batas pergaulan juga hendaklah dijaga supaya tidak leka daripada kewajipan dakwah.
6) Memiliki sifat ikhlas
-Ikhlas bermaksud melakukan kerja dakwah hanya kerana Allah semata-mata tanpa mengharapkan apa-apa selainnya. Da’ie mestilah bebas daripada kepentingan peribadi dalam dakwah dan perlu sentiasa istiqamah dalam keikhlasannya agar tidak tersasar dari jalan yang sebenar.
Sabda Rasulullah bermaksud,
“Sesiapa yang berjuang demi menegakkan kalimah Allah, maka dialah yang berjuang di jalan Allah.”
(HR Bukhari)
7) Percakapan dan tindakan yang benar.
بسم الله الرحمن الرحيم.
(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ. كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفۡعَلُونَ)
“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
(Surah As-Soff: ayat 2 – 3)
-Seorang da’ie hendaklah beramal seiring dengan apa yang diperkatakannya. Da’ie juga hendaklah berkata dan beramal dengan yang benar. Ulama menyatakan, Allah lebih murka orang yang mengajak perkara yang wajib, sedangkan dia tidak melakukannya atau melarang daripada melakukan yang haram, tetapi dia sendiri yang melakukannya.
Justeru itu, marilah sama-sama kita koreksi diri adakah kita sudah memiliki kesemua sifat-sifat yang di atas? Jika belum, sama-samalah kita berusaha menjadi seorang da’ie yang memiliki sifat peribadi Muslim yang sebenar kerana ia mencerminkan agama Islam itu sendiri.
Selamat beramal!
USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka,
• Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Melaka.
• YDP PAS Masjid Tanah.
Rujukan: Nadi Perjuangan (Siri 4)
Kredit : Facebook Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka