Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 21 Okt : Tiga kes baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan kesemuanya dikesan di Daerah Melaka Tengah.
Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Melaka dalam satu hantaran di laman Telegram rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut laporan itu ketiga-tiga kes tersebut adalah daripada kategori kes jangkitan tempatan saringan kesihatan tempat kerja dengan masing-masing satu kes dikesan di Mukim Telok Mas, Mukim Paya Rumput dan Mukim Klebang Kecil.
Dengan kes terbaru itu jumlah mukim yang dikategorikan sebagai Zon Kuning di negeri ini meningkat daripada 13 mukim kepada 16 mukim setakat ini.
Tambah laporan itu lagi sehingga kini seramai 33 orang masih dirawat di hospital Melaka selain tiada kes sembuh atau kes kematian baharu direkodkan hari ini.
Sementara itu sebanyak 732 kes baharu dikesan di seluruh negara hari ini dengan Negeri Sabah masih mencatat rekod tertinggi iaitu sebanyak 535 kes.