Home Berita PAS Melaka

Kolumnis : Hidup dan mati adalah ujian : Mari kenali kanak-kanak OKU – Bahagian 2

530
SHARE

Oleh : Aziah Md Saad

SETIAP manusia yang melahirkan dan dilahirkan menginginkan sesuatu yang terbaik dan menggembirakan dalam kehidupan. Malangnya manusia akan berkeluh-kesah dengan apa ditakdirkan oleh Allah SWT. Kelahiran yang tidak dipinta menjadikan berlakunya konflik dalam diri ibu, bapa dan keluarga sehingga mengabaikan kanak-kanak OKU ini untuk mendapatkan intervensi awal.

Sesungguhnya Allah telah memberi peringatan tentang penciptaan hidup dan mati ini adalah ujian seperti yang disebut dalam surah Al Mulk ayat 2:

“Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun”.

Mengenali perkembangan kanak-kanak

Ibu bapa dan penjaga seharusnya mengikuti perkembangan motor kasar kanak-kanak bermula dari kanak-kanak berumur kosong bulan lagi dan jangan jadikan alasan kesibukan bekerja, melayan anak-anak, suami dan keluarga menyebabkan pengabaian kanak-kanak istimewa anda.

Perkembangan motor kasar pada tahun pertama


Umur dan kemahiran motor kasar

1-2 bulan
Bayi akan membengkok dan meluruskan kedua-dua kaki atau berselang seli.

2–3 bulan
Bayi akan memegang kepala dan mengangkatnya pada sudut 45 darjah antara dagu dan dada.

5 -6 bulan
Bayi akan mula duduk dengan bantuan. Tangan akan diletakkan di hadapan

6 – 8 bulan
Berpusing ke kanan dan ke kiri dengan sendiri.

7 – 9 bulan
Boleh duduk dengan sendiri tanpa bantuan

7 – 9 bulan
Melutut (quadruped position).

9 – 10 bulan
Menarik diri dan badan untuk berdiri (di sofa atau kabinet).

8 – 13 bulan
Boleh mengesot menggunakan tangan dan lutut di atas lantai.

9 – 13 bulan
Boleh meniti di tepi sofa dan kabinet.

10.5 – 13 bulan
Boleh berdiri sendiri.

12 – 14 bulan
Boleh berjalan sendiri

Jika dari segi fizikal, ibu bapa dan penjaga boleh mengesan kanak-kanak daripada umur satu bulan lagi dan sepatutnya ibu bapa dan penjaga perlulah mengambil tindakan proaktif berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kanak-kanak OKU di bawah jagaan mereka.


Kategori kanak-kanak OKU

Kanak-kanak OKU yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi boleh dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdapat tujuh kategori kanak-kanak OKU seperti yang berikut.

1. Pendengaran
Kanak-kanak yang tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantuan atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan.

2. Penglihatan
Kanak-kanak tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad di kedua-dua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan.

3. Fizikal
Kanak-kanak yang ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan atau ketidakupayaan di mana-mana bahagian anggota yang mengakibatkan kanak-kanak ini tidak dapat melakukan aktiviti asas penjagaan diri, pergerakan dan pertukaran posisi tubuh badan.

4. Pelbagai
Kanak-kanak Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Diabilities) mempunyai lebih ketidakupayaan dan secara umum tidak sesuai untuk kategori satu hingga enam.

5. Pertuturan
Kanak-kanak tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak difahami oleh mereka yang berinteraksi dengan kanak-kanak ini.

6. Masalah Pembelajaran
Kanak-kanak yang bermasalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikal. Kanak-kanak ini tergolong dalam kategori ini adalah lewat perkembangan global.

7. Mental
Kanak-kanak ini berpenyakit mental yang teruk dan telah diberi rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya dua tahun oleh Pakar Psikiatri.

Sesungguhnya ujian yang diberikan kepada ibu, bapa dan penjaga kanak-kanak OKU adalah untuk menaikkan darjat martabat setiap ibu, bapa dan penjaga kerana Allah SWT tahu bahawa hamba-Nya mampu untuk mengatasinya.

Surah Al Baqarah ayat 286 menyatakan bahawa;
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya, dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya…..” sehingga akhir ayat.

Penulis adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, pesara guru pendidikan khas yang turut dikurniakan seorang anak istimewa dan juga ahli Grup Penulis PAS Melaka (GPPM)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)