Home Artikel PAS Melaka

PASTI Assyafie, Telok Mas raikan guru dan kakitangan

527
SHARE

Oleh : Abu Harith

KOTA MELAKA, 20 Okt : Guru dan kakitangan merupakan aset penting bagi menjamin kelancaran operasi secara berterusan dan menjadi nadi penggerak utama kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan seperti PASTI.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan guru serta kakitangan yang banyak menyumbang kepada perjalanan PASTI Assyafie Telok Mas, pihak pengurusan telah menaja jamuan makan malam kepada semua mereka di sebuah restoran di bandar Melaka pada Ahad lepas sebagai tanda terima kasih.

Menurut Pengurus PASTI Assyafie, Mohd Farid Eshak, tajaan makan malam ini dianjurkan setelah melihat sumbangan dan komitmen guru serta kakitangan secara berterusan dalam menguruskan pelajar setiap hari semasa sesi persekolahan terutama di musim pandemik Covid-19.

“Setiap hari mereka bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran perjalanan pengajaran dan pembelajaran mengikut silibus yang telah ditetapkan.

“Jadi diharapkan penghargaan kecil ini dapat membantu memberi semangat dan sokongan moral pihak pengurusan kepada mereka, “ ujar beliau.

Makan malam ini dihadiri oleh pengurusan PASTI Assyafie bersama tiga orang guru, tiga orang pembantu guru dan turut disertai oleh dua orang bekas pembantu guru yang sudah menamatkan perkhidmatan sebelum ini.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)