Home Berita PAS Melaka

Kenang jasa ulama golongan terawal tiup semangat kemerdekaan – Ustaz Sheikh Faisol

1085
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

HANG TUAH JAYA, 15 Okt : Para ulama adalah golongan terawal yang meniup semangat kemerdekaan kepada rakyat melebihi para nasionalis di zaman negara masih dalam belenggu penjajahan dulu.

Perjuangan golongan ulama dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan mungkin tidak begitu didendangkan, malah mereka sebaliknya dilabel sebagai penderhaka dan penentang British.

Pengarah Darussyifa’ Melaka, Ustaz Faisol Sheikh Mohd berkata demikian semasa menjadi panelis dalam ‘Forum Kalam Murabbi, Peranan Institusi Pondok dalam Mempertahankan Akidah Ummah’ yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka yang disiarkan secara ‘live’ di laman Facebook PAS Negeri Melaka malam tadi.

‘’Haji Mat Hassan Panglima Mat Munas atau Tok Janggut adalah ulama memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu susulan campur tangan British. Tok Janggut bersama kira-kira 1,000 pengikut keluar untuk berjihad, namun beliau terkorban berserta beberapa pengikutnya.

“Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusof Ahmad juga terbabit secara tidak langsung dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan walaupun tidak mengangkat senjata menentang penjajah British.

“Beliau sebagai Tok Guru berjaya meniup semangat jihad disebarkan menerusi penulisan dalam Majalah Pengasuh dan Majalah al-Hikmah selain berjaya mendidik ramai tokoh ulama dan ilmuan Islam yang bertebaran di seluruh tanah air.” ujar beliau.

Dengan itu, menurut beliau, tidak dapat dinafikan lagi kepentingan institusi pondok, di mana sejarah membuktikan betapa tokoh ulama tanah air turut tersenarai sebagai individu penting dan terawal dalam meniup semangat jihad dan kemerdekaan sehingga masyarakat bangkit menentang penjajahan dan kezaliman.

Ustaz Faisol menambah, lebih daripada itu, mereka juga berjaya mendidik masyarakat dengan pendidikan agama bagi mengamalkan ajaran Islam sebenar.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)