Home Berita PAS Melaka

“Saya menangis, rasa sayu mengenang kejatuhan Melaka” – Prof Dr Azman

1068
SHARE

 

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 15 Okt : “Bagi pengkaji sejarah seperti saya yang menyelidik tamadun, apabila kita mengenangkan Melaka, kita akan menangis, rasa sayu.

“Sebab memang benar satu ketika dahulu Melaka adalah pusat ketamadunan Islam, bukan sahaja pusat perkembangan Islam tetapi juga pusat ekonomi untuk dunia Islam dan salah satu pelabuhan yang menjadi kekuatan umat Islam di seluruh dunia.

“Apabila kita menyentuh tentang Melaka, zaman keagungan dan kejatuhannya, lebih kurang sama macam Andalusia yang satu ketika dulu gah tapi kini jatuh. Memang sayulah. Sebab tu ada pantun yang berbunyi:

“Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa hamba dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa hamba berikan.”

Demikian perkongsian Pensyarah UniKL MICET, Prof Madya Dr Azman Yusof yang tidak dapat menahan sebak ketika membicarakan perkara ini semasa menjadi panel jemputan ‘Forum Kalam Murabbi- Peranan Institusi Pondok Dalam Mempertahankan Akidah Ummah’ malam tadi.

Menurut beliau Portugis memiliki ketumbukan ketenteraan yang hebat sebab itu tentera Portugis mampu menawan Andalusia dan Melaka, manakala Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pula kehebatannya lebih tertumpu kepada sektor perdagangan.

“Menurut catatan Tome Pires tidak ada lagi dia jumpa satu kota di Timur yang setanding dengan Melaka.” ujar beliau yang juga merupakan graduan Doktor Falsafah dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan dari UPM itu.

Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa golongan pertama yang menjadi buruan Portugis ketika itu ialah para ulama yang telah menyebabkan mereka bertindak melarikan diri ke wilayah yang menerima Islam seperti Kelantan, Terengganu dan Aceh.

Azman juga menambah, kemalapan institusi pondok berlaku akibat daripada situasi peperangan yang membuatkan semua pihak mendahulukan keperluan fisiologi (keperluan asas) manusia sebagaimana teori yang dikemukakan oleh Abraham Maslow.

“Institusi pondok tidak berkembang semasa kejatuhan Melaka kerana kita kehilangan kuasa. Sebab itu pentingnya mengembalikan kuasa kepada orang yang faham agama, yang cintakan kepada pendidikan.” kata beliau.

Program forum anjuran Dewan Ulamak PAS Melaka ini juga telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook PAS Negeri Melaka malam tadi.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)