Home Berita PAS Melaka

Sekolah pondok kubu akidah yang gagalkan misi Portugis – Prof Dr Azman

944
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 15 Okt :
Sungguhpun berjaya menguasai Melaka selama 130 tahun sejak 1511M, Portugis tetap gagal melengkapkan misi 3G (Gospel, Gold and Glory) untuk menukar akidah penduduk Melaka hasil kekuatan yang didapati daripada sistem pondok yang kukuh ketika itu.

Institusi pondok pada zaman itu telah berjaya menjadi kubu pertahanan penduduk Melaka daripada serangan akidah walaupun kerajaan Kesultanan Melayu Melaka gagal mempertahankan wilayahnya daripada serangan Portugis.

Demikian menurut Pensyarah UniKL Micet, Prof Madya Dr Azman Yusof, semasa menjadi panelis dalam ‘Forum Kalam Murabbi, Peranan Institusi Pondok dalam Mempertahankan Akidah Ummah’ yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka dan disiarkan secara ‘live’ di laman Facebook PAS Negeri Melaka malam tadi.

“Dalam konteks Kesultanan Melayu Melaka ini, Islam itu sudah established, masyarakatnya dipanggil ‘mutadayyin’ iaitu masyarakat yang beragama di mana rajanya sendiri seorang yang mencintai agama.

“Contohnya Sultan Mansur Shah pernah menuntut ilmu dengan Maulana Abu Bakar bahkan dia sendiri pergi ke rumah Maulana Abu Bakar untuk mengaji kitab Dar Al-Manzum dan baginda memerintahkan kitab itu diterjemah ke dalam bahasa Melayu.

“Begitu juga dengan anakanda baginda Sultan Alaudin Riayat Shah. Baginda bukan sahaja seorang raja tetapi juga seorang ulama, baginda boleh mengajar ilmu agama kepada sultan di tempat lain.” kata beliau ketika menjawab soalan yang diajukan moderator.

Beliau menerangkan, kegiatan agama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka amat aktif bukan sahaja di madrasah, surau dan masjid malah istana juga menjadi tempat penyebaran ilmu dan kesemua kegiatan tersebut dilihat menepati ciri-ciri sistem pondok yang menjadikan kawasan ‘tok guru’ atau ‘masyaikh’ berada sebagai pusat pengajaran dan penyebaran ilmu.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)