Home Berita PAS Melaka

Pena Kaunselor – Motivasi K.E.R.J.A

1396
SHARE

Oleh : Abu Harith

BEKERJA merupakan satu tuntutan besar ke atas setiap Muslim bagi menjamin kelangsungan kehidupan dan menjadi kefarduan ke atas semua untuk mencari rezeki yang halal lagi baik. Islam melarang umatnya untuk berdiam diri, menganggur dan meminta-minta, sedangkan tubuh badan berada dalam keadaan sihat untuk bekerja.

Dalam sebuah hadis Rasulullah (s.a.w) bermaksud:

“Bahawa sesungguhnya seseorang kamu pergi mengambil seutas tali, kemudian mengikat seberkas kayu api lalu menjualnya hingga dengan sebab itu ia dapat memelihara harga dirinya, adalah lebih baik daripada ia pergi meminta-minta kepada orang sama ada mereka rnemberinya atau menolaknya.”

Walau bagaimanapun, sebagai manusia yang normal, tidak dinafikan semangat bekerja boleh menaik dan menurun mengikut keadaan tertentu. Selagi namanya manusia, perubahan sentiasa wujud dalam diri kita. Tugas kita adalah untuk mencari sumber kekuatan yang boleh menjadi pendorong membakar semangat bagi terus membanting tulang, memerah keringat agar setiap titisan peluh yang keluar itu tidak menjadi sia-sia.

Sabda Rasulullah (s.a.w) lagi.

“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya daripada hasil usaha tangannya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)

Berikut dikongsikan tips motivasi bekerja berdasarkan akronim K.E.R.J.A yang dirasakan sedikit sebanyak menjadi penyuntik semangat, membugarkan tindakan bersungguh-sungguh dan membangkit rasa tekun untuk terus bekerja bagi melunaskan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan:

1. Keutamaan dan kewajipan

Dalam keghairahan kita untuk menyelesaikan semua urusan pekerjaan ini sebagai satu keutamaan, janganlah kita lupa bahawa dalam masa yang sama kita juga mempunyai tanggungan atau keluarga yang menjadi kewajipan ke atas kita untuk diberi perhatian. Aspek keutamaan kepada pekerjaan dan kewajipan terhadap keluarga ini harus diseimbangkan supaya kita boleh kembali fokus kepada apa yang kita lakukan. Betul caranya, keluarga mampu menjadi pendorong untuk kita lebih kuat bekerja sebenarnya.

2. Empati

Empati dimaksudkan dengan melihat sesuatu perkara dari sudut pandang orang lain. Ia satu bentuk perasaan untuk memahami orang lain yang secara lebih mendalam. Di sini, empati mengajar kita untuk tingkatkan rasa syukur kerana hari ini kita masih lagi dikurniakan dengan pekerjaan untuk diusahakan dan mungkin ianya menjadi salah satu sumber rezeki halal kita sekeluarga. Berbanding golongan yang lain, mungkin ada di antara mereka yang telah dibuang kerja, rugi dalam perniagaan atau pun masih mencari-cari pekerjaan yang sesuai. Bersyukurlah dengan pekerjaan yang sedang kita miliki.

3. Rezeki dan rasa tanggungjawab

Mungkin pekerjaan kita sekarang ini tidak lumayan gajinya, tidak besar pangkatnya dan tidak semewah pendapatan mereka yang lain. Namun, sedar ataupun tidak, mungkin dengan pekerjaan inilah ia menjadi salah satu sumber rezeki kita bagi menampung keperluan keluarga selama ini. Laksanakanlah dengan penuh rasa bertanggungjawab, setimpal dengan bayaran yang diterima setiap hujung bulan. Carilah keberkatan dalam setiap upah yang diterima.

4. Janji dan jihad

Masih ingat lagikah apakah akujanji kita kepada majikan sewaktu kita mula diterima bekerja? Bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan berintergriti dalam tugas, mungkin merupakan sebahagian janji yang pernah kita ungkapkan dahulu. Kenapa semakin lama perkara ini semakin pudar dan semakin dilupakan? Tidakkah kita rasa ini juga sebahagian jihad kita dalam menunaikan setiap janji yang telah kita buat. Betulkan niat. Ingat, semua ini akan menjadi hitungan kelak.

5. Amanah dan akhirat

Setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada ditanya tentang apa yang telah diamanahkan. Akhirat menjadi tempat segala perhitungan semua pekerjaan kita usahakan. Beruntunglah jika Allah mengira semua pekerjaan itu sebagai pahala yang membantu kita kelak. Ingat! Ukuran dosa dan pahala menjadi perkiraan kepada kita sebagai orang yang beriman. Laksanakan yang terbaik dengan amanah ini untuk kita bawa ke akhirat nanti. Itu pasti.

Firman Allah S.W.T.

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang itu melainkan balasan apa yang diusahakan”. (al-Najm: 39)

Semoga Allah S.W.T sentiasa memberikan pertolongan-NYA kepada kita seiring dengan keikhlasan kita untuk menunaikan setiap pekerjaan yang kita lakukan di dunia ini. Kita tidak mahu semua ini menjadi batu penghalang untuk kita masuk ke syurga Allah S.W.T kelak berpunca daripada pekerjaan yang tidak berkualiti dan sikap sambil lewa. Mohon dijauhkan.

Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar



Wartawan Rakyat Melaka (WARM)