Oleh : Abu Harith
STRES merupakan situasi biasa yang kita dengar dan alami. Mustahil untuk kita katakan bahawa ada manusia yang tidak pernah mengalami stres. Oleh kerana itulah, jika seseorang itu mengalami stres maka ianya satu petanda normal dan kita tidak boleh lari daripada situasi stres selagi mana kita masih hidup.
Situasi ini juga memberikan kefahaman kepada kita bahawa, stres adalah satu keadaan di mana ia boleh menimpa sesiapa sahaja, bila-bila masa, pada tahap yang berbeza-beza dan memberikan kesan yang pelbagai kepada orang yang mengalaminya. Jadi hormatilah mereka yang mengalami stres dengan membantu dan mengeluarkan mereka daripada keadaan yang sukar tersebut.
Stres adalah suatu keadaan yang sukar dijangkakan tetapi manusia boleh menguruskannya supaya berkurang. Walau bagaimanapun, percayalah melalui stres, seseorang itu akan berpengalaman dalam menghadapi stres pada masa lain pula. Jom kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan stres.
Stres sering kali dikaitkan dengan keadaan di mana seseorang itu bertindakbalas dengan perubahan sekeliling dan memberikan kesan kepada sistem dalam badan. Dalam perkataan Latin, stres dikatakan berasal daripada perkataan “stringere” bermaksud ketat atau tegang.
Barlow (1999) menyatakan bahawa stres berpunca daripada gerak balas fisiologi tubuh badan kesan terhadap “stressor” yang melibatkan perubahan dan memerlukan adaptasi. Stres adalah kesan daripada permintaan terhadap badan, maka apabila semua permintaan ini melebihi keupayaan badan untuk memenuhi atau mengatasinya maka akan berlakulah ketegangan ataupun disebut stres.
Yang menariknya, ada seorang tokoh bernama Seyle (1974), menyatakan bahawa istilah stres sukar untuk didefinisikan kerana perkara yang menyukarkan atau menyedihkan seseorang individu mungkin menggembirakan individu yang lain. Seyle melihat stres boleh berbentuk positif yang disebut sebagai “Eustress” dan negatif iaitu “Distress”.
Manakala World Health Organisation (WHO) pula menerangkan stres sebagai satu proses yang bergerak ke arah kefungsian sepenuhnya dan perlu dilihat dari sudut fizikal, mental, sosial dan kerohanian. Tindak balas stres dilihat sebagai satu proses yang disebabkan oleh tahap kefungsian individu berdasarkan keempat-empat dimensi itu.
Jelas daripada semua takrifan ini bahawa stres adalah satu proses normal respons tubuh badan kepada perubahan yang berlaku dalam kehidupan kita. Tindak balas yang dikeluarkan ini adalah sebagai tanda badan mula menyedari perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Perubahan ini mungkin suatu keadaan yang kita cari ataupun berlaku tanpa kita sedari. Itulah uniknya sistem tubuh badan kita. Ciptaan Allah Yang Maha Pencipta.
Apabila semua definisi ini telah kita fahami, maka secara tidak langsung juga kita sudah pun mempunyai satu tips bagaimana untuk menguruskan tahap stres kita. Caranya ialah dengan mengakui perubahan tingkahlaku yang akan berlaku, wujudkan kesedaran emosi kepada proses yang dialami oleh sistem tubuh badan dan membetulkan pemikiran kita bahawa semua ini adalah normal bagi kita sebagai seorang manusia yang sihat. Insya-Allah kehidupan akan dapat ditempuhi dengan penuh harmoni.
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar