Home Berita PAS Melaka

Kolumnis : Tangga Batu sejahtera – Politik dan Islam

667
SHARE

POLA kehidupan mutakhir ini kita melihat umat Islam semakin cenderung mengambil berat perkembangan politik tanah air. Secara dasarnya, keperluan dalam mengambil tahu perkembangan politik semasa merupakan tanggungjawab yang sangat perlu bagi mereka yang mengaku mencintai tanah airnya.

Oleh yang demikian bagi memastikan kesinambungan mata rantai para umarak silam mengurus politik dengan bimbingan kefahaman agama serta dibimbing oleh para ulama yang memayungi pendekatan politik dengan petunjuk yang benar sepertimana Khalifah Umar Abdul Aziz rahmatullahalaik, maka pada hari ini mana-mana yang mahukan kepimpinan yang selamat dunia akhirat adalah amat memerlukan sebuah kefahaman yang sebenar bersumberkan kepada rujukan Al-Quran dan Al-Sunnah agar politik itu dapat diurus dengan tatacara menurut perspektif Islam yang sebenar.

Namun masa yang bergerak dengan terlalu pantas, dunia berubah dengan membawa perubahan yang telah merubah lanskap pemikiran manusia, tidak terkecuali kaum Muslimin yang terkena musibah kepelbagaian pemikiran yang dipandu dengan teori dan juga persepsi (baca fitnah). Justeru itu hasilnya kita dapati, gambaran bahawa hampir semua para politikus membawa watak dan lakonan mereka yang berpolitik dengan cara yang tidak lansung menurut lunas-lunas syarak sehingga menyebabkan sebahagian pemikir sekularisme mahupun yang berdiri atas wasilah Islam telah menghasilkan teori yang sangat meyakinkan dengan teori politik yang amat kotor dan hina, seperti kata Badiuzzaman Said al-Nursi, “Aku berlindung daripada syaitan dan siyasah.”

Walau pun begitu, Syeikhul Islam Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri menganggap wajib dan perlu bagi umat Islam memahami politik dan menempatkan diri di persadanya jika berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Ini kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan daulah Islamiyyah sebagaimana Baginda SAW mengasaskan Negara Islam Madinah.

Justeru itu, kita akan mengemukakan bagaimanakah model politik menurut kehendak syariat dan as-sunnah di dalam Islam, agar setiap daripada amillin atau mana-mana individu awam dapat mengenali, memahami sekaligus membuka minda sehingga mampu memahami bahkan dapat mengenalpasti bagaimanakah sebenarnya akhlak seorang ahli politik yang mesti dimiliki secara menyeluruh perihal politik mengikut landasan syariat Islam yang sebenar.

Ini agar bidang politik tidak menjadi wasilah bergejalanya kerosakan
nilai-nilai kemanusian dan tanggungjawab sosial oleh ‘pelacur-pelacur agama’ yang terjun dalam bidang politik melalui agenda ‘meruntuhkan kejahilan’ atas golongan yang
jahil dengan ‘membina kejahilan baharu di atas kejahilan lama’ melalui model kejahilan daripada politikus beragama.

DEFINASI POLITIK

Politik dalam Kamus Dewan ditakrifkan kepada beberapa takrif:

Pertama: Ia merupakan ilmu, ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siyasah dan ilmu kenegaraan.

Kedua: Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.

Ketiga: Kelicikan, muslihat, tipu muslihat.

Berpolitik pula ditakrifkan sebagai mengambil bahagian dalam politik, menjalankan (mengamalkan) politik.

Mempolitikkan pula ditakrifkan sebagai memasukkan ke dalam urusan politik, menjadikan sebagai urusan politik, menjadikan (sesuatu) kelihatan ada kaitannya dengan politik.

(Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1223)

Perkataan politik berasal daripada kata akar polis dari Bahasa Greek, yang bererti negara, kota, dan kemajuan. Istilah politik dipopularkan oleh Plato dalam bukunya Politea dan Aristotle dalam bukunya Politicia. Politik merupakan istilah yang digunakan untuk
membincangkan konsep pengaturan masyarakat.

Dalam bahasa arab, politik juga dikenali sebagai siasah daripada perkataan (يسوس ساسةسياس) yang memberi maksud cara mengurus tadbir dan memerintah, mengurus atau mengatur perkara mengikut syariat Islam.

Antara perkataan yang hampir seerti dengannya ialah:

 Al-Khilafah (الخالفة)
 Al-Imamah (اإلمامة)
 Al-Siyadah (السيادة)
 Al-Riyasah (الرياسة)
 Al-Qiyadah (القيادة)

Berdasarkan disiplin ilmu-ilmu Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah bidang fekah dan bukan di bawah perbahasan akidah. Justeru, politik Islam sering dikenali sebagai al-Siyasah al-Syar’iyyah, Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah, dan
lain-lain lagi.

Walau bagaimapun perkembangan Ilmu fekah yang terlalu luas dibimbangi keanjalannya bakal merosakan pemikiran dan prinsip beragama oleh ahli-ahli politik maka pada edisi yang akan datang kita akan cuba membawa artikel yang bertajuk “ Wasiat Emas Baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam” juga untaian kata-kata peringatan daripada Khulafa Ar-Rasyidin Radiallahuanhum.

Insya-Allah.

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

MOHAMMED SAUFEE OTHMAN
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Melaka
• Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)