Home Berita PAS Melaka

Coretan Kak Wirda : Rasulullah SAW pernah dicaci dan difitnah

686
SHARE

Oleh : Wirdawati Nazwir

Alhamdulillah
Assalamualaikum.

PADA awal memperkenalkan intipati akidah Islam kepada penduduk Makkah, Rasulullah SAW difitnah sebagai orang gila, pendusta dan pencaci agama nenek moyang, walhal sebelum itu mereka sangat memuji-muji Baginda SAW disebabkan sifat dan tingkahlakunya yang terpuji hingga diberi gelaran “Al-Amin” iaitu yang sangat amanah.

Baginda SAW mendapat perhatian masyarakat Kota Makkah bukan disebabkan Baginda daripada keluarga ternama daripada suku kaum ternama iaitu daripada keluarga Abdul Mutalib daripada Bani Hashim kaum Quraisy.

Cerita sesat ini diviralkan terutama kepada seluruh pelancong dan pedagang luar yang sangat asing dengan nama “Muhammad” SAW atas tujuan ‘menjarakkan’ warga Kota Makkah dengan Rasulullah SAW dan menggagalkan usaha dakwah Rasulullah SAW.

Orang-orang Quraisy menggunakan kemasyhuran dan pengaruh keturunan mereka bagi mendapatkan kepercayaan seluruh warga yang berada di Makkah atas tujuan perdagangan dan pernyembahan berhala di Kaabah bagi tujuan merosak dan menjahanamkan reputasi Baginda SAW selaku pemuda terpilih dalam kalangan kaum Quraisy.

Malangnya, cerita palsu yang tersebar itu telah membuatkan nama “Muhammad” SAW meniti di setiap bibir warga Makkah, semakin terkenal dan menimbulkan rasa ingin tahu mereka tentang cerita dan keperibadian sebenar sosok tubuh kepada nama yang sangat indah itu!

Lalu tersingkaplah pada mereka tentang ketinggian akhlak dan budi Rasulullah SAW. Kisah tentang diri Rasulullah SAW dibawa pulang ke negara masing-masing sebagai hadiah berharga buat rakan dan keluarga. Sementelah pula, dunia dilitupi kegersangan nilai murni kemanusiaan dan makna kehidupan.

Justeru itulah, individu yang gigih dan cekal memperjuangkan ketinggian agama dan syariat Allah tidak sesekali akan berhenti dan berpaling tadah daripada menyemarakkan prinsip tauhid yang teguh dalam jiwanya dan kehidupan keluarganya.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan pendirian teguhnya dengan ucapannya, “Sekiranya mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku menghentikan tugas dakwah ini, aku sekali-kali tidak akan berhenti daripadanya sehinggalah aku mati kerana memperjuangkannya.”

#TarbiahDakwahJalanTerus

Penulis adalah AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)