Home Berita PAS Melaka

Rencana : Kawalan kendiri kualiti penulisan e-buku.

712
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

DALAM Harakah keluaran Edisi Jumaat 10 Julai lepas penulis ada menulis sebuah rencana berkaitan dengan e-buku iaitu buku yang dicetak dan disebarkan secara digital atau elektronik.

Dalam rencana tersebut penulis menyatakan sebab-sebab mengapa e-buku ini boleh dikatakan sebagai rahmat kepada golongan penulis dan golongan pembeli buku kerana kosnya yang sangat murah dan efektif. Oleh kerana kos menerbitkannya sangat murah berbanding buku cetak, maka ia boleh dijual dengan harga murah dan dalam masa yang sama penulis dapat menikmati hasil yang lebih tinggi berbanding royalti buku cetak.

Namun begitu di sebalik kelebihannya berkaitan kos yang murah, ada beberapa perkara lagi yang perlu dipertimbangkan demi untuk memastikan segmen e-buku ini berjaya memenuhi keperluan pembaca dan dapat menggantikan fungsi buku cetak atau buku fizikal dengan sempurna.

Satu perkara yang menarik tentang e-buku ialah ia memudahkan golongan penulis untuk menulis dan menerbitkan sendiri manuskrip mereka tanpa perlu melalui syarikat penerbitan. (Manuskrip adalah penulisan buku yang telah disiapkan tetapi belum diterbit dan dicetak)

Memang benar, untuk buku cetak atau buku fizikal, seseorang penulis buku itu juga boleh menerbit dan mencetak buku mereka sendiri. Namun, isu yang paling besar ialah kos untuk mencetak buku fizikal itu.

Jika seseorang penulis menghantar manuskripnya kepada penerbit maka penerbitlah yang akan menanggung segala-galanya termasuk kos percetakan dan pemasaran. Penulis tidak perlu mengeluarkan wang sendiri dan hanya tunggu royalti dibayar apabila buku sudah terjual.

Selain soal kos, penulis yang menerbit dan mencetak sendiri buku fizikal juga akan menghadapi masalah untuk menjual dan memasarkan bukunya kepada pembeli dan memasuki pasaran kedai-kedai buku.

Tetapi dengan e-buku, tidak timbul soal kos percetakan yang sangat tinggi. Untuk memasarkannya juga sangat mudah, hanya dengan menggunakan internet dan media sosial.

Kualiti suntingan e- buku

Namun begitu, satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh penulis e-buku ialah berkaitan dengan kualiti penulisan dan suntingan. Ini adalah kerana kebanyakan penulis e-buku menulis dan menerbitkan sendiri buku mereka tanpa ditapis oleh editor profesional.

Bagi buku cetak yang biasanya diterbitkan oleh syarikat penerbitan, mereka ada editor yang bertanggungjawab menyunting sesebuah manuskrip bagi memastikan tidak ada kesilapan fakta, ejaan, tatabahasa dan penggunaan gaya bahasa yang betul di dalam sesebuah manuskrip.

Selain itu di dalam syarikat penerbitan yang menerbitkan buku cetak, terdapat juga panel penilai yang pakar dalam menentukan samada sesuatu manuskrip itu boleh dijual atau tidak berdasarkan kehendak pasaran.

Sesetengah penulis terutama penulis baharu beranggapan bahawa kewujudan panel penilai dan editor sebagai sesuatu yang menyusahkan mereka dan menyekat mereka dari berkarya dengan bebas. Pada pendapat penulis anggapan ini adalah separuh silap.

Tidak berapa lama dahulu penulis ada menyiapkan sebuah manuskrip novel dan menghantarnya kepada sebuah syarikat penerbitan. Selepas hampir lapan bulan manuskrip itu dinilai, syarikat penerbitan itu pun memaklumkan keputusannya kepada penulis. Gagal!

Pihak editorial syarikat penerbitan itu menyenaraikan kelemahan-kelemahan yang ada pada manuskrip novel tersebut yang menyebabkan ianya ditolak.

Alasan penolakan manuskrip

Bagi penulis ada beberapa alasan penolakan yang penulis anggap ia bersifat relatif dan subjektif. Contohnya berkaitan dengan jalan cerita. Mungkin pada pandangan editor dan panel penilai jalan cerita itu tidak menarik dan akan ditolak pembaca. Namun mungkin juga pandangan mereka boleh jadi silap. Manuskrip Harry Potter tulisan JK Rowling pernah ditolak oleh 12 syarikat penerbitan sebelum diterima oleh Bloomsburry Publishing dan kini ia menjadi lagenda.

Ini contoh penolakan kerana alasan yang subjektif. Untuk penolakan yang bersifat subjektif ini mungkin penulis boleh mengatakan editor dan panel penilai tidak 100 peratus betul apabila menolak sesuatu manuskrip.

Namun, kebanyakan alasan penolakan manuskrip novel yang penulis karang itu memang penulis boleh bersetuju dan boleh terima. Penulis akui memang penulis belum ada pengalaman menulis novel sebelum ini. Ada beberapa perkara yang penulis akui ia memang kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Dari situ penulis belajar untuk memperbaiki semula manuskrip tersebut.

Kerana itu penulis mengatakan yang sikap skeptikal seseorang penulis terhadap editorial dan panel penilai sebagai separuh silap kerana ada penilaian yang dibuat panel penilai dalam menerima atau menolak sesuatu manuskrip bersifat subjektif yang boleh dipertikai.

Kesilapan asas dalam penulisan

Namun ada juga kesilapan yang dibangkitkan oleh editor itu memang benar-benar kesilapan asas yang tidak disedari oleh penulis, terutama penulis-penulis baharu. Seseorang editor itu biasanya mempunyai banyak pengalaman dan telah menyunting mungkin berpuluh malah beratus manuskrip. Mereka sangat arif terhadap kesilapan-kesilapan yang biasa berlaku pada sesebuah manuskrip.

Selain itu juga faktor perundangan dalam penulisan juga satu perkara yang sangat penting untuk diambil perhatian oleh penulis. Antaranya berkaitan dengan petikan dari tulisan yang menyentuh soal hak cipta, atau perkara yang berkaitan dengan privasi atau isu sensitif yang boleh menyebabkan penulis disaman. Perkara-perkara seperti ini memerlukan khidmat editor profesional yang memahami isu ini.

Guna khidmat editor profesional

Penulis-penulis e-buku boleh menggunakan khidmat editor profesional untuk menyunting manuskrip e-buku mereka untuk melihat sekiranya terdapat kesilapan tatabahasa, ejaan, fakta dan sebagainya. Paling tidak pun mereka boleh meminta bantuan rakan-rakan yang mempunyai pengetahuan asas dalam perkara ini.

Sekiranya penulis-penulis e-buku sebebas-bebasnya menulis tanpa mengambil berat tentang kualiti penyuntingan penulisan sesuatu e-buku, dibimbangi satu masa nanti orang akan menganggap e-buku sebagai bahan bacaan picisan dan sampah.

Apabila e-buku dianggap sebagai picisan dan sebaliknya buku cetak kekal dianggap sebagai berkualiti dan mempunyai standard yang tinggi maka usaha untuk menjadikan e-buku sebagai pilihan pembaca akan gagal. Akibatnya, ia akan menyukarkan penulis-penulis untuk menjual e-buku mereka.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

Rencana ini telah disiarkan di akhbar Harakah pada 24 Julai 2020


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)