Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka : Rakyat marah ahli politik punca gelombang ketiga Covid-19

1102
SHARE

SEMALAM Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 287 kes baharu Covid-19 direkodkan. Dan ia antara yang tertinggi direkodkan semenjak mula merebaknya wabak ini di Malaysia.

Jika kita mengikuti perkembangan terkini perbincangan yang trending di alam maya pada masa ini kita boleh melihat seolah-olah ada satu gerakan di kalangan netizen yang menyuarakan kemarahan mereka terhadap ahli-ahli politik yang dikatakan sebagai punca kepada gelombang ke-3 Covid-19.

Jika kita lihat pada trend ini, netizen agak seimbang dengan tidak menyasarkan mana-mana kumpulan ahli politik samada dari blok kerajaan atau pembangkang. Kebanyakan mereka menyasarkan kepada semua ahli politik secara pukal tidak kira dari pihak mana.

Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru selesai menjadi sasaran kecaman dari netizen yang menyalahkan ahli-ahli politik sebagai bersikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menggadaikan keselamatan rakyat.

Samada Shafie Apdal yang salah kerana membubarkan DUN Sabah atau Musa Aman yang salah kerana menyebabkan Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sudah tidak jadi pertikaian pada netizen. Pada mereka dua-dua sama sahaja.

Kekalutan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang lewat memaklumkan penangguhan pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar baharu ke IPT-IPT semalam pula ibarat mencurah minyak ke dalam api yang sudah sedia membakar hati rakyat.

Ramai ibu bapa dan para pelajar yang sudah bergerak, malah ada yang sudah pun sampai ke IPT masing-masing ketika pengumuman penangguhan itu dibuat. KPT sepatutnya lebih pantas membuat keputusan agar tidak menyusahkan rakyat.

Semua penjawat politik di dalam kerajaan sekarang harus berhati-hati menangani masalah rakyat di saat status sebagai ‘orang politik’, tidak kira dari blok mana pun sekarang menjadi golongan yang paling tidak popular di mata rakyat.

Jangan sibuk lagi meratapi kegagalan mencapai impian politik kepartian daripada parti masing-masing. Jangan sibuk menuntut itu dan ini. Jangan sibuk nak buat pilihanraya umum. Jangan sibuk mahu menjatuhkan kerajaan di sana-sini. Kita kena faham pada waktu ini apa sahaja yang berkaitan politik sedang dipandang jijik oleh rakyat.

Semua ahli politik kerajaan pula mesti faham, sekiranya kita gagal menjalankan tanggungjawab membantu rakyat dengan berkesan ia akan membawa kesan yang buruk bila berlakunya pilihanraya umum pada masa akan datang.

Dan pada masa sekarang kerja pembangkang akan jadi lebih mudah sebagai tukang kritik jika kerajaan buat silap. Dan jika kerajaan banyak buat silap maka kelebihan akan dapat pada pembangkang jika berlaku pilihanraya pada masa akan datang. Jadi berhati-hati dan bekerja keraslah!

Semua pihak mesti kurangkan politiking! Buat kerja untuk membantu rakyat! Mula dari sekarang!

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Jabatan Penerangan PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)