Home Berita PAS Melaka

Rencana : Kepentingan kalendar haid dalam diari muslimah

875
SHARE

Oleh : Siti Hajar

“EH saya musykillah, darah haid kali ini keluar lama benar tempohnya. Dah hampir 17 hari keluar tidak berhenti.” adu Sarah kepada rakannya Faqihah. Mendengar aduan Sarah, Faqihah berhenti menaip tugasan yang perlu dihantar esok.

Dia segera memandang Sarah dan mengajukan pertanyaan. “Warna darah hari yang ke 16 warna apa? Ada bau hanyir? Ibadat solat Sarah buat atau tidak?”, bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Faqihah. Setelah Sarah selesai memberikan penerangan, Faqihah menasihatkan Sarah supaya ‘install’ aplikasi Kalendar Haid.

Pasti kejadian di atas pernah berlaku dalam kehidupan kita. Sama ada kita berada di situasi Sarah ataupun Faqihah. Wanita normal akan mengalami pendarahan haid apabila persenyawaan tidak berlaku. Kitaran haid yang normal ialah di antara 25 hingga 35 hari bermakna tempoh haid yang normal juga ialah lebih kurang dua hingga lapan hari. Sekiranya tempoh haid melebihi 15 hari, darah tersebut merupakan darah penyakit dan dikenali sebagai darah istihadah menurut Islam.

Bagi mengelakkan kekeliruan, wanita muslimah khususnya wajib mencatat tempoh haid dan suci. Marcapada, begitu banyak aplikasi kalendar haid yang boleh dipasang dalam telefon pintar contohnya seperti Period Tracker, Period Tracker MIA dan Easy Period Calendar. Terdapat variasi maklumat yang anda boleh tahu dan simpan di dalam aplikasi tersebut. Antara yang penting untuk dicatat ialah warna darah, bau darah, kepekatan darah dan tempoh keluarnya darah haid.

Dalam satu hadis Kitab Sunan Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy r.a : “Apabila darah itu adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali, justeru hendaklah kamu menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah) selain itu maka hendaklah kamu berwuduk dan mendirikan solat kerana sesungguhnya ia adalah (darah) penyakit.”

Ulama menyarankan supaya para Muslimah membuat catatan haid masing-masing. Terutama haid pertama anak perempuan yang baru baligh. Imam Syafie Rahimahullah berpendapat tempoh maksimum haid wanita ialah 15 hari dan tempoh minimum suci daripada haid juga 15 hari. Perlu diingat, bab darah yang keluar dari faraj wanita amat berkait rapat dengan ibadat solat yang diperintahkan Allah SWT. Sekiranya kita memandang enteng dan cuai, kita akan mendapatkan murka Allah kerana meninggalkan solat dengan sengaja.

Firman Allah SWT :

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً

Maksudnya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.
(Surah Maryam: 59-60)

Inilah antara usaha yang kita boleh lakukan untuk mengelak daripada memperoleh dosa yang sia-sia. Sekiranya tidak mampu membezakan sendiri darah haid dan istihadah selepas tempoh 15 hari, rujuklah kepada asatizah dan segera berjumpa doktor untuk pengesahan lanjut. Umat Islam harus bijak menggunakan teknologi moden untuk kebaikan diri dan agama. Semoga permasalahan haid dan istihadah semakin mudah dicerna dalam diari seorang muslimah.

Penulis adalah penuntut Diploma Pengajian Islam dan Bahasa Arab di sebuah IPT di Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)