Home Berita PAS Melaka

Rencana : APSA – Auramu luar biasa.

1095
SHARE

Oleh : Siti Salwani Mohd Kassim

JUMAAT malam…

“Adik, esok dan lusa Umi tak ada di rumah sepanjang hari, ada kelas di Ayer Keroh”. Satu suara kedengaran di sebuah rumah di Duyong, kawasan Kota Melaka.

“Oh, kelas APSA Umi dah mula balik ya”, si anak bongsu berusia sepuluh tahun membalas dengan soalan. Terlupa dia Uminya dah beritahu minggu lepas. Tiada masalah baginya ditinggal Umi. Sudah biasa begitu. Sejak lahir dikelek Umi menghadiri program. Masuk sekolah sudah pandai berdikari. Tinggal di rumah dijaga abang dan kakak.

Di sebuah rumah di kawasan Tangga Batu lain pula ceritanya. Seorang isteri muda menyiapkan keperluan tiga anaknya yang berusia antara satu dan tujuh tahun untuk dijaga suami esok. Sekali-sekala mengingatkan suami tentang rutin setiap seorang anak. Along dengan kerja sekolah dan mengajinya, Angah yang berusia empat tahun lengkap peralatan sekolah tiap kali Along membuat homework perlu dijaga kerana minat ‘menulis’ di buku Along. Adik yang baru dapat kaki sedang lasak dan kuat menyusu.

Si suami telah sedia maklum hujung minggu ke tiga setiap bulan isterinya akan menghadiri kelas Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) dan membawa bersama dua anak, Along dan Adik. Tetapi dengan keadaan pandemik Covid-19 masih ada dan PKPP yang masih berkuatkuasa, anak-anak lebih selamat berada di rumah, pasangan ini reda mengambil peranan mengikut norma baru.

Di Kampung Terentang, Chabau seorang wanita 30-an sedang menyiapkan sambal ikan bilis untuk dimakan dengan nasi lemak waktu sarapan esok.

“Sambal dah siap senang, esok pagi-pagi tinggal masak nasi lemak dan goreng telur saja”, bisik hatinya. Senang hati meninggalkan rumah seawal 8 pagi bila juadah untuk keluarga dah tersedia. Sedikit dibungkus buat bekalan sendiri dan sahabat pelajar APSA.

Sementara itu, di Sungai Rambai, seorang guru menghadap komputer riba menyemak nota kuliah yang telah disiapkan dalam perisian powerpoint untuk dipaparkan kepada pelajar APSA esok. Sekali pun telah menarik nafas lega kerana selesai menghantar nota kuliah DEN 23 kepada APSA Pusat dua hari lalu, dia masih memikirkan pendekatan terbaik untuk berinteraksi dengan kaum hawa seramai 22 orang yang berusia antara 20 hingga 63 tahun.

Tugas sebagai pensyarah APSA menuntut persiapan rapi untuk menghadap bakal naqibat yang bukan calang-calang ilmu dan latarbelakang pendidikannya. Bukan hanya pelajar yang kena persiapkan diri untuk kuliah, pensyarah juga harus penuhkan ilmu di dada!

Di atas adalah sedikit senario biasa yang berlaku pada malam sebelum berlangsungnya kelas pengajian Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) di Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Melaka. Di Tanjong Bidara, Durian Tunggal, Bukit Palah, Lubok China, Telok Mas, Bacang, Bukit Larang, Sungai Udang, Semabok, Jasin, Masjid Tanah, Bukit Piatu malah di Parit Raja, Batu Pahat turut mengalami keadaan ‘sibuk luar biasa’ itu.

Bukan sahaja persiapan fizikal dan mental untuk duduk selama lapan jam di bilik kuliah selama dua hari berturut-turut, rumahtangga juga mesti disiap sempurna sebelum kaki melangkah. Lapang hati mencium tangan suami dan dahi anak-anak. Reda Allah menyusul dari reda suami.

Terbayang keadaan sahabat batch awal APSA kurang sepuluh tahun yang lalu yang melalui pengalaman lebih mencabar. Setiap bulan pastinya bakal naqibat akan bermusafir ke negeri di mana akademi ini berada. Pada masa itu hanya Sabah, Pahang dan Selangor sahaja yang mempunyai APSA namun pusat pengajian ini tidak sunyi dari kunjungan muslimat bagi menimba ilmu demi meningkatkan tarbiyah diri dan membangun sistem pendidikan ummah. Rutin jadual kuliah, kelas hari pertama berlanjutan sehingga jam 11 malam. Seawal 4 pagi pelajar telah bangun berqiamullail.

Namun mereka berjaya menghabiskan kursus selama tiga tahun sehingga bergelar graduan. Bukan satu batch, APSA setakat ini telah melahirkan dua batch graduan.

Masya-Allah, entah dari mana datangnya kekuatan dan kesungguhan itu. Selain pentarbiyahan yang berterusan, semangat dari namanya, Saidatina Aisyah r. a. Aura Ummul Mukminin yang terkenal dengan ketinggian ilmunya yang diperolehi secara langsung dari Rasulullah SAW.

Kecekalan dan kecerdikannya menjadikan beliau penyumbang yang penting kepada pertumbuhan, pembangunan, dan kefahaman Islam. Semoga semua Naqibat beroleh semangat wanita hebat ini.

Terbaru, majlis taujihat APSA Pulau Pinang disempurnakan semalam oleh Ketua Pengarah APSA, Ustazah Dr Wahibah Tahir. Tahniah adik bongsu! Selamat lahir dan berbakti melahirkan muslimat yang menegakkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam kerangka pembudayaan ilmu-ilmu Islam.

Seeru ‘Ala Barakatillah

Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka dan Setiausaha Penerangan PAS Negeri Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)