KelantanNegeri

Penganjuran majlis tilawah, hafazan platform suburkan penghayatan al-Quran dalam masyarakat

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 4 Februari — Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran secara tahunan oleh Kerajaan Negeri Kelantan menjadi platform penting bagi menyuburkan penghayatan Al-Quran dalam jiwa masyarakat, selain mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak negeri.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar menilai keindahan bacaan dan kekuatan hafazan, sebaliknya bertujuan melahirkan generasi yang memahami serta menghayati isi kandungan Al-Quran untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, usaha penganjur menambah baik perjalanan majlis termasuk memperkenalkan slot renungan ayat-ayat Al-Quran amat penting bagi membantu masyarakat menghayati mesej ayat yang dibaca oleh qari dan qariah.

“Pendekatan ini membolehkan ayat Al-Quran yang dibaca dengan bertarannum difahami dan dihayati oleh pendengar, sama ada yang hadir secara fizikal mahupun mengikuti secara maya, seterusnya diamalkan dalam tindakan dan cara hidup mereka.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2026M di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, di sini malam tadi.

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud pula berkata, penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan keagungan Al-Quran serta melahirkan generasi pelapis yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️