Kelantan tuan rumah SUKMA 2028, projek naik taraf infrastruktur diluluskan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2028 buat julung kalinya dilihat sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan negeri itu serta peluang penting untuk memperkukuh imej Kelantan di peringkat nasional, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur, sukan dan pelancongan negeri itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Dato’ Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal berkata, untuk tujuan itu, Kerajaan Persekutuan melalui Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah meluluskan cadangan kerajaan negeri bagi melebarkan jalan susur keluar Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai.
Menurutnya, projek pelebaran jalan itu melibatkan laluan bermula dari persimpangan Kok Lanas hingga ke jalan masuk Kompleks Sukan Bukit Merbau, yang dijangka memberi impak positif terhadap kelancaran aliran trafik.
“Kelulusan ini amat penting bagi menampung peningkatan pergerakan kenderaan, khususnya ketika penganjuran SUKMA 2028 kelak, selain memudahkan akses ke Kompleks Sukan Bukit Merbau.”
Sumber: inforakyat.kelantan.my