Pertanian Bandar Sangat Baik Kepada Golongan Muda
Oleh : Ahmad Faizal Ghani Al-Medaniey
KUALA TERENGGANU – Pertanian dalam kawasan bandar sangat baik kerana ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan kepada golongan muda.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, orang-orang muda perlu mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan Terengganu.
“ini sebenarnya satu dorongan kepada golongan muda untuk mengusahakan usaha-usaha yang sebegini untuk pertanian di kawasan bandar yang saya kira ianya sangat baik.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat melawat satu kebun Terengganu Melon yang telah diusahakan oleh seorang usahawan muda dalam kawasan DUN Batu Buruk di Kampung Chendering,” ujarnya.
Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kebun tersebut, hari ini.
Sehubungan itu, Ustaz Khalil mengucapkan tahniah dan memaklumkan, Exco Pertanian Negeri telah bersetuju untuk mengadakan lawatan ke kawasan penanaman itu.
“usaha ini saya difahamkan dimulakan beberapa tahun lepas dan ianya berterusan sehingga ke hari ini. Saya juga telah berjumpa dengan Exco Pertanian YB Dr Azman Ibrahim dan beliau sangat gembira dan akan datang melawat,
“Saya mendoakan semoga usahawan muda ini terus majulah, insyaallah,” kata beliau.