Teguhkan Kesabaran Untuk Istiqomah
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – “Sabar adalah paksi penting untuk istiqomah di dalam perjuangan Islam kerana kita tidak tahu bila kita akan menang,”’ ujar Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli sewaktu menyampaikan taujihat sempena Majlis ‘Brainstorming’ Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun, dekat sini, pagi kelmarin.
Beliau mengingatkan bahawa, gelombang sedang hebat membadai ‘bahtera’ PAS waktu ini, tetapi dengan petunjuk Islam, PAS akan berjaya mengharunginya.
Yang DiPertua PAS Dungun itu menegaskan PAS tidak akan campurtangan dengan urusan pentadbiran parti lain.
Namun beliau kesal kerana ada parti lain yang cuba mengatur urusan PAS.
“Kita tidak mengatur urusan pentadbiran orang lain, tetapi pentadbiran kita cuba diatur dan Presiden kita diperlekehkan.
“Kita juga tidak menegur pimpinan kerajaan negeri orang, tetapi kerajaan Kelantan telah dikritik hebat berhubung dengan banjir yang melanda .
“Kita tidak mencerca agama lain, tetapi undang undang hudud ditentang keras oleh mereka,”tegasnya yang menekaknkan bahawa, kepimpinan dan ahli PAS amat sabar di dalam perjuangan dan perlu meneguhkan kesabaran itu.
Katanya, ia adalah amat perlu untuk berhadapan dengan musuh kerana sirah para nabi mengajar kita,untuk menghadapi musuh dengan sabar.
Justeru itu, ahli dan pemimpin PAS harus teguh dalam pendirian mereka meneruskan perjuangan ini dalam keadaan menang atau pun diuji dengan ‘kekalahann’.
“kita tidak pernah menyesal dalam perjuangan ini walaupun kalah pilihan raya, kita tetap masuk pilihan raya, kerana kita bersabar menghadapi musuh.
“Kekuatan kesabaran ini hanya dapat kita perolehi apabila bersama jamaah, oleh itu jangan buat kerja seorang (diri dan) setiap lujnah mesti mencari ahli-ahli jawatankuasa walaupun hanya tiga orang,”jelasnya dan menambah, kejayaan diberi Allah kerana berjaya mengadakan mesyuarat.
Program yang diadakan di SRI Darul Bayan, Paka turut dihadiri oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun, Hajjah Khairiah Mokhti, Ahli-ahli Jawatankusasanya serta anggota Muslimat peringkat cawangan.