Home Berita PAS Kedah

15 penghuni dalam satu rumah

102
SHARE

ALOR SETAR,8 JUN 2023 – Kesempitan hidup menyebabkan satu rumah dihuni seramai 15 penghuni.

Rumah yang kelihatan agak uzur itu didiami oleh Puan Jamilah Binti Abu, 64, bersama suami anak-anak dan cucu-cucu beliau.

Beliau yang menjadi penyara dan penjaga bagi anak-anak dan cucu-cucu, hanya bekerja sebagai penoreh di kebun getah orang. Manakala suami beliau sudah tiada keringat untuk bekerja kerana terlalu uzur.

Turut dimaklumkan bahawa rumah yang didiami mereka tersebut adalah daripada peninggalan adik yang telah kembali menghadap ilahi.

Sudah pasti dengan keadaan rumah dan bilagan penghuni yang ramai menyebabkan penghuni agak kurang selesa.

Bertambah pilu, apabila dua orang anak yang sedang belajar di Sekolah Menengah tidak dapat ke sekolah kerana tidak memiliki kenderaan dan kemampuan untuk menghantar mereka ke sekolah.

Perkara ini telah mendapat perhatian daripada YB Ustaz Salim Mahmood ADUN Bukit Lada. YB Ustaz Salim dan Tuan Haji Abdul Samad, Pegawai Khas Ahli Parlimen Pokok Sena turun ke lapangan bagi menziarahi mereka. Kali ini tujuan bagi ziarah mereka adalah untuk melihat apa lagi keperluan yang perlu dibantu.

“Mereka memaklumkan bilik ayaq ada tapi jamban tak dak. Insyaallah kita cuba ikhtiar jalan mana yang boleh kita bantu untuk menyediakan beberapa kemudahan yang diperlukan.” Ujar YB Salim.

Keluarga tersebut juga telah menerima bantuan bulanan daripada Pejabat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pokok Sena.