Home Berita PAS Perlis

132 GP PASTI Ikuti Kursus Semester 7 DPAK Zon Utara

1495
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

KULIM : Tahap profesionalisme para guru PASTI yang tinggi dan semakin diyakini masyarakat membolehkan institusi berkenaan menjadi antara institusi pendidikan awal kanak-kanak yang paling pesat berkembang di negara ini.

Buktinya, PASTI sehingga kini berjaya merekodkan bilangan murid paling ramai dalam kategori swasta iaitu sebanyak 120,000 orang murid, dengan lebih 6000 orang guru dan 4000 buah premis di seluruh negara.

Meskipun sudah berada pada tahap yang boleh dibanggakan, program-program peningkatan guru-guru PASTI terus dilaksanakan secara aktif menerusi Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) ke arah memperkasakan lagi institusi pendidikan berkenaan.

Terbaru, telah berlangsung Kursus Semester 7 Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) dan Kem Sahsiah Guru (KSG) Zon Utara bertempat di Kem PLKN Bukit Besar, Kulim, Kedah.

Seramai 132 orang guru pelatih (GP) PASTI  telah mengikuti kursus tersebut yang berlangsung selama 5 hari, bermula pada 22 Mac yang lalu.

Kursus ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan PASTI Malaysia ke arah memastikan setiap guru PASTI memiliki sekurang-kurangnya diploma, setara dengan kelulusan guru-guru prasekolah yg lain.

Menariknya, sepanjang berkursus selama 5 hari, para peserta tidak sekadar mengikuti aktiviti berbentuk kuliah dan bengkel semata-mata tetapi juga aktiviti-aktiviti luar antaranya slot ikatan dan gajet, treasure hunt, ikhtiar hidup, aktiviti air serta slot pertolongan cemas.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Juwahir Amin pada hari terakhir kursus berkenaan.