Oleh: NOR FATIN
ALOR SETAR, 22 FEB – Sesi persekolahan bagi 113 pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar DUN Kuala Nerang lebih ceria apabila menerima baucar sumbangan pakaian sekolah menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2023 semalam.
Setiap seorang penerima akan memperolehi baucar yang bernilai RM 100. Baucer tersebut disumbangkan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Nerang menggunakan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri Kedah. Sumbangan tersebut adalah inisiatif sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.
Hajjah Puan Zainun Binti Ismaon, Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Padang Terap yang mewakili Yang Berhormat Haji Mohamad Yusoff @ Munir Bin Zakaria, Adun Kuala Nerang berkata, sumbangan diberikan bagi meringankan beban ibu bapa terdiri daripada golongan miskin dan anak yatim, sekali gus membantu dalam melakukan persiapan bagi menghadapi pembukaan sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.
Menurutnya, peruntukan lebih RM 13,000 disediakan oleh kerajaan untuk Program Kembali ke Sekolah 2023 dan Insya-Allah, ia akan berterusan pada masa depan.
Bagi Siti Nur Aimuni Binti Mohd Sazali pula, dia turut gembira dan seronok kerana kali pertama menerima bantuan persekolahan ini.
“Dengan bantuan ini, mudahlah untuk ibu bapa saya buat persediaan kerana hanya perlu tebus baucar di kedai terpilih bagi mendapatkan kelengkapan baharu persekolahan,” katanya.
Sementara itu Ibunya, Hayati Binti Adam mengucapkan terima kasih kepada YB Munir khususnya kerajaan negeri Kedah atas keprihatinan untuk menyumbang bantuan persekolahan ini.