Home Berita PAS Kedah

113 mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai terima sumbangan fasa- 4

106
SHARE

 

OLEH SARINA ISMAIL

GURUN, 12 SEPT –  Seramai 113 mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai di sekitar Gurun menerima sumbangan fasa ke 4, di Dewan Cina, Gurun, semalam.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, sumbangan dari PAS Kedah itu sebagai tanda simpati kepada semua mangsa yang terlibat.

“Saya mewakili PAS Kedah merakamkan rasa dukacita dan simpati atas apa yang menimpa tuan puan semua namun dalam masa yang sama kami berharapkan agar dapat bersabar dengan ujian Allah ini,” kata beliau dalam ucapan aluannya semalam.

Menurutnya lagi, penduduk yang ditimpa musibah tidak keseorangan sebaliknya dibantu oleh semua rakyat Malaysia yang begitu prihatian dengan kejadian ini.

PAS Kedah juga katanya tidak ketinggalan bersama-sama mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa yang terlibat meringankan bebanan yang ditanggung.

“Kita benar-benar seperti satu keluarga iaitu Keluarga Malaysia. Bantu membantu tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama. Tanpa mengira miskin ataupun kaya,” katanya lagi.

Beliau yang juga Exco kerajaan negeri berkata, pihak kerajaan juga berusaha membantu sedaya upaya sama ada melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai aspek.

Ekoran itu, sempena lawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini, sebanyak RM38 juta diluluskan untuk baik pulih pasarana berkaitan yang rosak dan musnah akibat kejadian 18 Ogos lalu.

Kesempatan itu, Ashah tidak lupa merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu sama ada sumbangan wang ringgit, kebendaan mahupun tenaga.

Tragedi trajis 18 Ogos lalu telah mengakibatkan kira-kira 1,500 premis kediaman,kedai, sekolah, masjid dan surau di dua daerah Yan dan Merbok dilanda banjir.

Manakala rempuhan air itu juga telah mengakibatkan beberapa chalet dan kawasan rekreasi sekitar Titi Hayun musnah dan rosak serta mengorbankan enam mangsa.

Dato’ Ashah bersama beberapa jawatankuasa harian Dewan Muslimat PAS Kedah dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerai turut menziarahi tiga orang balu kejadian terbabit.