Kenyataan Media
Dewan Muslimat PAS Malaysia
1. Kes penderaan adik Bella mendapat perhatian masyarakat sejak ia dilaporkan hingga ia dibicarakan di Mahkamah sekarang. Ia bukanlah satu-satunya kes seumpama itu. Malah penderaan terhadap kanak-kanak oleh penjaga dan pengasuh sama ada secara individu atau di institusi jagaan kerap kita dengar.
2. Golongan kanak-kanak, OKU dan warga emas merupakan golongan rentan yang memerlukan perhatian dan pembelaan. Dalam Islam golongan ini sentiasa disebut agar disayangi, dihormati dan diberikan hak mereka sewajarnya. Golongan OKU tidak pernah dipinggirkan. Islam tidak mengenepikan hak mereka kerana kurang upaya fizikal atau mental mereka malah menganjurkan pembelaan sewajarnya. Kurang prihatin terhadap golongan ini jelas ditegur oleh Allah swt dalam surah “Abasa.
3. Inilah agungnya Islam yang meletakkan hak yang sama kepada semua walau apapun keadaan fizikal dan kelemahan mereka. Dalam keadaan ini, Islam menetapkan agar waris ataupun penjaganya menjaga dengan baik dan membelanjakan harta sewajarnya untuk penjagaan golongan ini. Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak baik dalam keluarga mahupun institusi untuk menyantuni mereka selaras dengan ajaran Islam.
4. Saya juga berharap pemantauan yang lebih tersusun dapat dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku lagi.
5. Bagi kes adik Bella yang sedang dibicarakan, saya mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan mengikut lunas undang-undang dan menyerahkannya kepada Mahkamah untuk memutuskannya.
YB Dato’ Ustazah Siti Ashah binti Hj Ghazali
Pengerusi Lajnah Pembangunan Keluarga
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 April 2022 bersamaan 18 Ramadan 1443H