Home Berita PAS Perlis

Singgah Sahur DPPNPs semarakkan Ramadan

191
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

KANGAR, 20 April: Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPNPs) saban tahun menganjurkan program Singgah Sahur kepada beberapa agensi kerajaan di negeri ini.

Baru-baru ini, DPPNPs sekali lagi turun berkonvoi ke beberapa lokasi terpilih di tiga kawasan Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar bagi mengagihkan juadah makanan untuk sahur.

Lokasi terbabit ialah balai polis, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Balai Bomba dan Penyelamat.

Program berkenaan turut mendapat penyertaan daripada Alternative Riding Club (ARC) dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Perlis.

Antara yang turun padang ialah Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.

Menurut Asrul Aimran, DPPNPs merancang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada rakyat di samping meneruskan lagi program ini (Singgah Sahur) pada masa hadapan.

“Program yang kita buat setiap tahun di negeri Perlis ini adalah sebagai tanda menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang tidak pernah mengenal erti lelah dalam menyumbang bakti kepada negara, di samping meraikan bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta keampunan-Nya,” katanya ketika ditemui di sini.