Home Berita PAS Selangor

​Islam Itu Bukan Taliban

8555
SHARE

Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim

Allah swt berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 138,

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

1. Islam adalah agama yang indah. Agama yang adil. Agama yang membawa kesejahteraan dan kemakmuran. Ia telah dibuktikan dengan lakaran sejarah sejak 1000 tahun memerintah 2/3 dunia dengan membawa kebaikan dan rahmat melalui ajaran Islam serta ilmu pengetahuan.

2. Bermula dari Madinah, Mekah, benua Afrika, seluruh Semenanjung Arab, sebahagian Eropah, Asia Tengah, China dan Asia Tenggara dan ada pendapat mengatakan Islam juga pernah sampai ke sebahagian benua Amerika.

3. Ketika dunia berada dalam keadaan kegelapan atau Dark Ages, dunia Islam bercahaya dengan ilmu dan sains. Disebut dalam sebuah catatan sejarah, dunia Eropah tatkala pada zaman feudal, dengan penguasaan ajaran Kristian yang diselewengkan, masyarakat Eropah jauh ketinggalan dari serba segi.

4. Sedangkan pada waktu yang sama,  umat Islam di Cordova, Sepanyol tinggal dalam kecanggihan sehingga sudah terdapat lampu-lampu di jalanraya. Masyarakat Eropah yang jahil datang ke negara umat Islam berlutut menuntut ilmu dengan ilmuwan Islam daripada pelbagai lapangan ilmu pengetahuan

5. Tidak terkira bilangan sumbangan keilmuan Islam kepada dunia dan kemanusiaan sejagat sehingga diakui oleh barat dan para sarjana bukan Islam. Perubatan, kejuruteraan, matematik, sains, fizik, penerbangan, ilmu tumbuh-tumbuhan dan haiwan dan bermacam-macam lagi bidang, Islam telah meletakkan batu asas ilmu atau diperbaharui serta diperbetulkan dari kesarjanaan Rom dan Parsi dan tamadun-tamadun lain.

6. Kalau dilihat pula dari sudut pemerintahan dan sosial, Islam juga telah membuktikan bahawa Islam adalah agama membawa kebaikan untuk ummat manusia. Pemerintahan Islam diawal perkembangannya telah menunjukkan satu pemerintahan yang adil dan saksama.

7. Sehingga negara bukan Islam di sekitar negara Islam suatu ketika dahulu pernah meminta untuk bernaung di bawah kerajaan Islam untuk melarikan diri daripada Rom dan Parsi yang zalim.

8. Negara Madinah sendiri membuktikan sebuah negara yang majmuk, dilaksanakan sistem Islam sepenuhnya masih tetap adil dan saksama terhadap penganut agama lain. Seawal kepimpinan Nabi saw di Madinah, jumlah umat Islam adalah minoriti, namun disebabkan Islam yang dipraktiskan dalam pemerintahan lalu menterjemahkan keadilan dan rahmatnya, membuka hati penganut agama lain untuk bersama Islam.

9. Mutakhir ini, tohmahan dan dakwaan liar sering dilontarkan kepada Islam sebagai satu dakyah untuk memadamkan cahaya Islam dan sejarah keindahan Islam. Sejarah mungkin mampu dipadamkan, namun cahaya Islam tak akan ada sesiapa yang mampu memadamkannya.

10. Bermula dengan Islamophobia, talibanisasi, Isis dan beberapa lagi yang dicetuskan di barat yang sebenarnya bukan suatu perkara yang baharu. Istilah sebelum ini pernah diwujudkan untuk mendiskreditkan Islam dan memburukkan imejnya.

11. Fundamentalis, pengganas, tidak progresif, babarian dan bermacam-macam lagi adalah rentetan istilah pernah digunakan sejak zaman Nabi saw seperti ahli sihir, bodoh, manusia suci, berfikiran sempit (بادي الرأي) dan lain-lain.

12. Tidak dinafikan sesetengah umat Islam melakukakan perkara tertentu yang dinilaikan sebagai tidak bertamadun dan tidak demokratik. Namun Islam itu terhijab dengan perbuatan umatnya.

13. Apa yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam atau yang mengaku Islam yang melampaui sempadan antara keras dan longgar bukannya daripada ajaran Islam. Sekiranya mempraktiskan Islam secara keras pun dianggap tidak Islamik begitulah juga sekiranya dilonggarkan Islam sehingga meruntuhkan prinsip Islam dan Syariatnya adalah turut tidak Islamik.

14. Islam itu adalah Islam, bukan liberal, bukan demokrasi bukan hadhari, bukan progresif, bukan taliban, bukan Isis, bukan sekular. Islam adalah Islam yang ajarannya yang tulen, benar dan tetap prinsipnya serta anjal pada perlaksanaannya.

15. Islam kekal dengan berkeyakinan pada ilmunya serta ia didatangkan beserta dengan janji Allah seperti keberkahan, kemakmuran, kesejahteraan yang tiada pada sistem manusia yang sepenuhnya bergantung kepada keupayaan manusia yang terbatas.

16. Islam tidak perlu menempel atau ditempelkan dengan sistem atau isme lain untuk menjadi kuat dan berupaya. Ia tidak perlu diprogresifkan untuk kononnya menjadi berupaya. Ia tidak perlu disekularkan untuk menjadi maju. Ia tidak perlu ditalibankan untuk memberi keberkesanan pada amalinya. Ia tidak perlu didemokrasikan untuk menjadikannya demokratik.

17. Islam adalah Islam. Jikalau diamati dengan ilmu dan kefahaman, segala yang ingin dicapai seperti maju, demokratik, berpandangan jauh, bertamadun semuanya sudah ada dalam Islam. Hanya mereka yang jahil Islam sahaja tidak menemuinya sehingga terpaksa meminjamkannya daripada agama lain dan pegangan lain yang tersasar daripada prinsip Islam.

18. Kini, DAP dan konconya sedang memainkan semula istilah ini untuk memperlihatkan bahawa mereka tidak membenci Islam. Hakikatnya sebenarnya mereka menyerang Islam dengan berselindung di sebalik istliah teguran Sultan Johor yang bertujuan mendidik.

19. Penulis akur titah Sultan bahawa Islam bukan taliban. Namun DAP sengaja memanipulasikan istilah Taliban untuk menghalalkan tindakan mereka untuk merosakkan sistem Islam yang menjadi paksi keamanan atas kontrak sosial di negara ini.

20. Islam diperakui sebagai agama persekutuan hendaklah ditafsir sebagai cara hidup lengkap dan bukan mengikut tafsiran DAP.

21. Kenyataan pemimpin DAP yang menggunakan istilah menolak Taliban dalam konteks untuk menganjurkan pesta arak adalah tersasar daripada maksud titah Sultan Johor.

22. Ini adalah jijik dan melampau serta DAP sudah menjadi satu kumpulan yang memusuhi Islam secara terang-terangan. Sewajibnya DAP usah mencampuri urusan Umat Islam dan agama Islam di negara ini. Selama mana mereka berkata-kata dan mengulasnya,  selagi itulah menyerlah permusuhan keras mereka terhadap Islam. Ingatlah bahawa kesabaran umat Islam ada batasnya.

23. Maka, ayuhlah umat Islam semua sedarilah daripada tidur nyenyak kamu. Kembalikan keizzahan Islam.  Yakinlah bahawa sinar Islam pasti menerangi suatu hari Islam.

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

16 Oktober 2017