Home Minda Presiden

Zionis Israel pengganas bersejarah

250
SHARE


Minda Presiden PAS

ZIONIS ISRAEL PENGGANAS BERSEJARAH


Israel sudah menjadi negara pengganas selama 73 tahun, tempoh yang bermula setelah berlakunya peristiwa al-Nakbah pada 15 Mei 1948.

Al-Quran telah menyatakan bahawa keganasan yang paling kejam terhadap manusia dilakukan oleh kaum Yahudi. Sekali gus menyebabkan mereka menjadi kaum yang paling hina, setelah mereka diberikan kemuliaan oleh Allah SWT. Sebagaimana yang telah dijelaskan melalui firman-Nya:

﴿…وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٦١﴾

“…Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal yang demikian itu, disebabkan mereka kufur (mengingkari) terhadap ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh para nabi tanpa sebarang alasan yang benar. Oleh yang demikian, perkara itu berlaku kerana mereka menderhakai Allah dan mereka pula sentiasa melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 61)

Walaupun Allah SWT pada awalnya memuliakan bangsa mereka yang berasal daripada keturunan mulia iaitu Nabi Ya‘qub bin Nabi Ishaq bin Nabi Ibrahim AS, dengan kelahiran ramai dalam kalangan para nabi dan rasul. Termasuklah dalam kalangan raja, para pemimpin dan ilmuwan, tetapi ramai antara golongan itu yang menjadi mangsa kekejaman akibat daripada sifat melampau yang membejat dalam diri bangsa mereka.

Manakala, Nabi Musa AS pula merupakan Rasul pilihan paling berjasa, apabila Baginda AS menyelamatkan kaum Yahudi daripada kesesatan dan kezaliman Firaun. Namun begitu, perkara tersebut masih boleh dipermainkan dan dihina oleh mereka. Sehingga para rasul iaitu manusia pilihan Allah SWT, pemimpin dan ulama’ terbaik dan berjasa juga dibunuh oleh bangsa Yahudi.

Allah SWT memilih bangsa mereka bersama Rasul-Nya iaitu Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS untuk berhijrah ke Palestin, tanah mulia yang dimakmurkan oleh Nabi Ibrahim AS yang juga menjadi bapa kepada bangsa Yahudi dan Islam. Dengan syarat mereka hendaklah berjihad bersama kedua-dua Nabi tersebut bagi menghalau kaum Jabbarin yang menakluk tanah suci itu.

Tiba-tiba mereka bersikap melawan, lalu dihukum sesat oleh Allah SWT di padang pasir Sinai selama 40 tahun. Allah SWT mematikan sebahagian besar daripada mereka dan kemudian melahirkan generasi baru yang berjihad menegakkan agama Allah SWT di bumi Palestin oleh nabi yang lain, selepas kewafatan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang telah dikecewakan.

Setelah itu, mereka diberikan kemenangan dan memerintah dengan berpandukan Kitab Taurat, sehingga berjaya menegakkan sebuah negara besar dengan dilantik menjadi Khalifah iaitu Nabi Daud AS. Kemudian, oleh Raja dalam kalangan mereka iaitu Nabi Sulaiman AS yang memerintah dunia seluruhnya dengan adil (sistem khalifah dan sistem beraja).

Kaum Yahudi yang fanatik itu hanyalah bermegah dengan nabi-nabi yang dibangkitkan daripada kalangan mereka semata-mata, tetapi mereka tidak beramal dengan kitab Allah SWT dan terus menunjukkan perangai yang paling buruk. Allah SWT menjelaskan hal yang tersebut melalui firman-Nya:

﴿مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥﴾

“Perumpamaan bagi orang-orang (Yahudi) yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka untuk memikul (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang membawa Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui isi kandungannya). Amatlah buruk perumpamaan bagi kaum yang mendustakan ayat-ayat yang menjadi keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu‘ah: 5)

Firman Allah SWT:

﴿…وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٦٤﴾

“…Dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian antara mereka hingga Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula secara terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedangkan Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Ma’idah: 64)

Hanya segelintir sahaja daripada kalangan mereka itu beriman, manakala sebahagian besarnya jahat dilaknat oleh Allah SWT dan mereka tersebar luas ke pelbagai tempat setelah dihalau kerana melakukan kejahatan dari segi agama, politik, ekonomi dan sosial. Dalam diri mereka ditanam dengan kefahaman bahawa mereka ialah bangsa pilihan Allah SWT sejak dahulu hingga kini, walaupun bangsa mereka sudah melakukan pelbagai bentuk penyelewengan. Sedangkan bangsa lain pula bagi mereka, hanyalah bertaraf binatang selari dengan teori Darwin.

Mereka juga bertindak menubuhkan berbagai-bagai pertubuhan dan menguasai gerakan tertua serta gerakan rahsia sejak sebelum Masihi lagi. Kemudian, mereka bergerak di bawah payung gerakan Freemason sebagaimana yang pernah didedahkan oleh Jeneral (Bersara) Turki, Almarhum Jeneral Jawwad Rif‘at Atalkhan.

Beliau terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Pertama bagi mempertahankan Palestin dalam menghadapi tentera bersekutu yang disokong oleh Revolusi Agung Arab. Beliau seterusnya berjaya menyeret ejen-ejen Yahudi dan hasil soal siasatnya telah mendedahkan maklumat tentang gerakan Freemason yang dirampas secara bertulis dan berdasarkan temu bual yang dilakukan.

Pertubuhan ini seterusnya menyusup masuk ke dalam gerakan politik dan lain-lain pertubuhan, dengan membawa agenda bagi menghapuskan agama secara terbuka atau secara halus tanpa menunjukkan penentangan secara nyata. Strateginya dengan membawa fahaman kemanusiaan yang menggunakan akal seperti liberalisme, agenda reformasi, kemanusiaan dan lain-lain yang sememangnya tidak menepati istilah Islam, sekalipun mempunyai persamaan nama.

Sehingga puak Yahudi itu berjaya menyusup masuk ke dalam gerakan Revolusi Perancis dan memperkenalkan slogan-slogan yang menarik bagi mempengaruhi perubahan di negara-negara yang lain. Sehingga perubahan yang dilakukan berakhir dengan kelemahan kerana terpisah daripada panduan agama dan fitrah, dan tinggallah Zionis mempertahankan gerakan asas Negara Agung Israel yang diimpikan oleh mereka.

Seterusnya mereka bergerak melalui cabang-cabang pertubuhan politik, ekonomi, sosial, media, kebudayaan, hiburan dan akhirnya menyusup ke dalam parti-parti politik bagi mempengaruhinya di bawah blok yang telah diaturkan. Khususnya melalui negara kuasa besar, bahkan di setiap cabang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Majlis Keselamatan yang dibayangi oleh kuasa veto dan agensi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bertujuan mengembalikan semula Negara Agung Yahudi (Greater Israel) di Palestin.

Mereka menubuhkan suatu gerakan pelampau yang paling ganas di bawah payung gerakan Freemason bagi menghidupkan ideologi Zionis.

Asal usul gerakan ini sebenarnya telah bermula lebih awal, tetapi secara rasminya dimulakan pada zaman kini yang ditubuhkan oleh wartawan berbangsa Yahudi Austria-Hungary, Theodor Herzl pada akhir kurun ke-19 melalui penerbitan bukunya ‘Der Judenstaat’.

Daripada kalangan mereka muncul tokoh-tokoh pencipta ideologi yang terkenal dan mereka berjaya menubuhkan negara di tempat masing-masing. Antaranya ialah Karl Marx, Vladimir Lenin, Leon Trotsky dan sebagainya daripada kalangan tokoh-tokoh komunis. Selain itu, tokoh seperti Adam Smith, John Locke, Montesquieu dan lain-lain daripada kalangan tokoh liberal kapitalis. Semua tokoh daripada kedua-dua aliran itu muncul selepas lahirnya fahaman sekularisme.

Perjuangan Zionis menumpukan beberapa wilayah bagi melakukan penghijrahan orang-orang Yahudi yang menganut ideologi Zionis, ke arah menubuhkan negara impian di Palestin bernama Israel. Wilayah tersebut ialah Eropah termasuk Amerika, Rusia dan juga Ethiopia (wujud wilayah daripada salah seorang putera Nabi Sulaiman AS).

Kejayaan Arthur James Balfour berada di kemuncak posisi dalam Kerajaan British (1902-1905) menjadi Perdana Menteri dan Menteri Luar telah menghasilkan Deklarasi Balfour yang terkenal. Usaha itu merupakan perjuangan Barat bagi menyerahkan Palestin kepada Yahudi melalui pembahagian Sykes-Picot yang terkenal melibatkan pihak British, Perancis dan Rusia.

Berikutan pesat penghijrahan orang-orang Yahudi ke Palestin yang dipermudahkan, maka ditubuhkan gerakan bawah tanah atau kongsi gelap. Antara gerakan yang paling terkenal ialah Haganah yang ditubuhkan atas nama menjaga keselamatan kaum Yahudi yang pesat berhijrah dengan segala kemudahan di negara-negara timur dan barat tersebut. Pendatang Yahudi itu pula dengan mudah dipersenjatakan oleh pemerintah British. Sebenarnya mereka bertujuan mencipta pasukan-pasukan pengganas atau samseng-samseng yang dilatih dan diberikan kebenaran memiliki senjata.

Peristiwa Deir Yassin yang berlaku pada 9 April 1948, merupakan tragedi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin yang dilakukan oleh pasukan pembunuh di bawah pimpinan Menachem Begum yang pernah dilantik menjadi Perdana Menteri Israel, dan lain-lain pihak. Kemudiannya, berlaku peristiwa penyembelihan Sabra dan Shatila pada tahun 1982 oleh tentera Israel yang ketika itu berada di bawah pimpinan Ariel Sharon.

Keseluruhan ahli pasukan Haganah akhirnya menjadi tentera dan ketua tentera yang memimpin kerajaan Israel sehingga kini secara bertali arus. Mereka berbekalkan semangat perjuangan Zionis yang paling fanatik dengan semangat kebangsaan Yahudi, sehingga ditanam semangat bahawa semua bangsa bukan Yahudi dalam dunia hanyalah binatang sahaja.

Malangnya ada yang memainkan peranan dalam media di Malaysia dengan mempertahankan hak Israel atas nama kemanusiaan. Oleh kerana buta sejarah, maka boleh dilakukan apa sahaja kerja menjadi khadam duit.

Almarhum Syeikh ‘Izzuddin al-Qassam seorang tokoh ulama’ daripada Syria (bukan Palestin) terpaksa berhijrah ke Palestin ketika penjajahan Perancis di negaranya, dan Palestin ketika itu berada di bawah jajahan British. Beliau telah melancarkan suatu gerakan, bertujuan menentang penjajah British yang telah berkerjasama dengan gerakan ganas Yahudi. Selain itu, beliau juga telah membentuk gerakan jihad ketenteraan yang melahirkan berbagai-bagai gerakan bersenjata yang masih wujud sehingga ke hari ini.

Manakala, Almarhum Syeikh Amin al-Husaini (Mufti Palestin) pula berperanan memandu gerakan politik dan masyarakat supaya bangkit menentang gerakan Zionis sehingga akhir hayatnya. Di mana kedua-dua tokoh, iaitu Syeikh ‘Izzuddin al-Qassam telah gugur syahid pada tahun 1354 Hijriah atau pada tanggal 20 November 1935. Sedangkan Syeikh Amin al-Husaini pula meninggal dalam buangan pada 14 Jumadal Akhirah 1394 Hijriah bersamaan 4 Julai 1974. Beliau pernah diundang oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menjadi tetamu Musabaqah al-Quran terawal yang diadakan pada tahun 1960. Ketika itu, beliau menjadi tetamu negara kita dan berucap di Stadium Merdeka, sewaktu beliau diharamkan daripada mendapat visa ke mana-mana negara di seluruh dunia.

Gerakan terawal tersebut telah menumbuhkan benih gerakan perjuangan Palestin, gerakan itu diburu di seluruh pelosok dunia oleh organisasi yang dipengaruhi gerakan Zionis. Gerakan yang dipengaruhi fahaman Zionis mendapat perlindungan politik dan agensi media antarabangsa sejak dahulu lagi seperti Rueters, Associated Press (AP) dan lain-lain media terkini.

Peranan media ialah melindungi keganasan yang dilakukan oleh gerakan Zionis dan membersihkan segala kejahatan mereka yang paling ganas. Mereka melindungi perjuangan yang merosakkan dunia dengan mewujudkan pergolakan politik yang telah mencetuskan dua perang dunia dengan mengorbankan berjuta-juta angka korban manusia. Kini, dunia sedang menunggu perang berikutnya yang pasti akan berlaku.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 7 Syawwal 1442 / 19 Mei 2021