Oleh: Dhiya’ Muttmainnah
24 April 2020
BATU – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa orang pesakit terlantar di Flat Sentul Utama, semalam.
Sebanyak empat buah keluarga telah berjaya dikunjungi bagi melihat sendiri kesusahan yang dihadapi rakyat dan membantu mereka yang memerlukan.
Selain bantuan barangan keperluan, beliau turut mendoakan setiap keluarga yang dilawati agar sentiasa dalam rahmat dan pemeliharaan Allah SWT.
Beliau turut berpesan kepada semua untuk bertaqwa kepada Allah SWT agar mendapat keberkatan dan rahmat dariNya.
Turut mengiringi YB Dato’ Hajah Siti Zailah semasa Ziarah Kasih tersebut adalah Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan dan Setiausaha Majlis Perwakilan Penduduk Sentul Tengah, Zurina Din.
Terdahulu YB Dato’ Hajah Siti Zailah turut bersama dalam majlis penyampaian 100 bakul barang keperluan dapur kepada penduduk Flat Sentul Utama sumbangan Muslim Care Malaysia dengan kerjasama jawatankuasa Surau At Taqwa dan Majlis Perwakilan Penduduk Sentul Tengah.