KUALA TERENGGANU – Pasukan The Tracers II yang terdiri daripada 10 pegawai dan kakitangan Yayasan Terengganu (YT) melakar sejarah apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Emas pada Majlis Anugerah Persada Inovasi Negeri Terengganu 2025.
Kejayaan tersebut melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM9,000 dimana sebanyak RM8,000 bagi Anugerah Emas dan RM1,000 (lima bintang).
Pasukan diketuai Penolong Pengarah (Bahagian Pendidikan Tinggi) YT, Wan Nur Solehah Wan Said itu turut dianggotai Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Teknologi Maklumat) YT, Muhammad Ridhuan Ismail, Pembantu Tadbir (PT) Azlinawati Salleh, PT Amira Samra Abdul Rahman.
Dan juga PT Muhamad Khairi Mezah, PT Ahmad Nadzri Saidi, PT Nadia Syahira Safieei, PT Amir Muslim Mustapa, PT Muhammad Najib Ahmad serta PT Noor Fazliana Zainal.

Wan Nur Solehah berkata, produk inovasi yang dikenali sebagai The Tracers II itu berperanan untuk mengesan keciciran pelajar SPM seterusnya membantu penempatan mereka di sektor pekerjaan.“Kita dapatkan data-data daripada agensi yang terlibat antaranya dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Tenaga Kerja juga data dalaman YT sendiri.
“Kemudian kita kesan maklumat tersebut dan dapat jumlah pelajar yang tercicir seterusnya salurkan data tersebut kepada agensi terlibat,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Persada Inovasi Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.Sebanyak 37 projek dinilai oleh juri melibatkan pelbagai produk inovasi oleh jabatan, agensi kerajaan negeri serta persekutuan dan juga GLC.
Katanya, sistem The Tracers II mula dibangunkan pada bulan Jun 2024 dan digunakan sepenuhnya di YT bermula Mac lalu.
Menurut beliau, ia tercipta selari dengan visi dan misi Yayasan Terengganu yang mementingkan pendidikan dan memandang tinggi kepada satu data dalam membantu anak-anak Terengganu khususnya.
“Jadi data ini sebenarnya membantu secara langsung dan juga tidak langsung semua anak-anak Negeri Terengganu.
“Jika mereka tiada penempatan di institusi-institusi pendidikan, mereka masih lagi ada peluang untuk berada di sektor pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakkan dimiliki,” ujarnya.

Menurut beliau, beberapa pihak yang sudah melihat keberkesanan The Tracers II memberikan maklum balas cukup baik dan menyatakan minat untuk menggunakannya bagi memudahkan urusan tugas masing-masing.”Produk ini sudah didaftarkan di Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada September 2025. Maklum balas diterima daripada agensi kerajaan lain yang menguji sistem ini turut positif.
“Tidak mustahil sistem ini boleh dikomersialkan dan buat masa sekarang kami masih lagi di peringkat dapatkan beberapa data dari segi keselamatan sistem sebelum dikomersialkan,” katanya.





