KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) telah memperuntukkan lebih RM5 juta sebagai anugerah dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sejak tahun 1979 sehingga tahun 2023.
Nilai tersebut melibatkan seramai 17,439 pelajar cemerlang SPM, 1,532 pelajar STPM dan 693 pelajar STAM dengan jumlah keseluruhan sebanyak 19,664.
Bagi penyampaian Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali ke-44 yang berlangsung semalam, seramai 758 penerima diberikan anugerah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM416,800.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melibatkan 527 penerima peringkat SPM dengan empat pelajar cemerlang dianugerahkan Pingat Emas yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 seorang.
Manakala, seramai 212 pelajar menerima anugerah bagi peringkat STPM dan 12 pelajar bagi peringkat STAM.
Bagi peringkat ijazah pula melibatkan tujuh orang mahasiswa.