Home Berita PAS Selangor

Yang gagal adalah kerajaan 22 bulan PH – Setiausaha PAS Negeri Selangor

217
SHARE

May be an image of 2 people and text

Nadi Selangor By Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha PAS Negeri Selangor

Peperangan menghadapi pandemik COVID-19 masih berterusan setelah masuk tahun kedua. Berbagai usaha diambil pihak kerajaan bagi memastikan PKP ‘lockdown’ 3.0 ini akan berjaya memutuskan rantaian wabak ini yang telah mengorbankan lebih 3,291 orang (setakat 5 Jun 2021).

Langkah-langkah SOP yang diperketatkan serta peningkatan jumlah penerima vaksin dijangka akan membantu dalam membendungnya sebagaimana di negara-negara maju lain. Jika semua berjalan lancar dan rakyat konsisten menjaga diri masing-masing, mematuhi SOP dan mengambi vaksin ikut jadual mustahil kita akan mencatatkan kejayaan menjelang penghujung tahun ini dan keadaan hidup rakyat dapat kembali normal.

Sudah pastilah dalam keadaan serba kebimbangan ini rakyat menjadi semakin vokal, bukannya kerana benci atau bosan dengan kerajaan tetapi lantaran terbelenggu dalam kehidupan yang tertekan kita menjadi lebih kritikal.

Suasana ini menuntut pimpinan dan kerajaan agar lebih berhemah dan berhati-hati dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Jika SOP melarang pergerakan merentas daerah contohnya jangan pula ada yang melanggarnya sedangkan rakyat dihalang, kecualilah punya urusan yang dikecualikan. Yang perlu kuarantin, maka pastikan perintah kuarantin dipatuhi, tiada pengecualian.

Demikian juga dalam hal perkhidmatan perlu atau ‘essential services’ jika tersenarai dalam kategori ini maka beroperasilah ikut SOP, manakala yang ‘non essential’ jangan pula beroperasi sehingga menggagalkan matlamat PKP 3.0 ini. Semoga dengan pematuhan dan kerjasama semua pihak rakyat jelata tidak kira fahaman politik atau kedudukan, usaha untuk memulihkan negara akan dapat bersama dicapai sebagaimana dirancang.

Namun demikian dalam kita tekun menghadapi cabaran pandemik ini tetap ada mereka yang tidak jemu-jemu menangguk di air keruh yang kotor dan busuk itu. Mereka ghairah mengambil kesempatan menghasut kebencian rakyat, agar membenci dan menolak kerajaan.

Kempen ‘Kerajaan Gagal’ digembar-gembur dengan matlamat rakyat marah pada Kerajaan Persekutuan dan dengan api kemarahan itu akan roboh dan runtuhlah kerajaan ini sebagaimana berkecainya kerajaan Pakatan Harapan mereka dahulu.

Puak-puak kecewa ini langsung tidak memikirkan kesusahan dan kebimbangan rakyat. Sepatutnya dalam keadaan Darurat sebegini semua pihak bekerjasama membantu rakyat menghadapi cabaran ini tetapi mereka tidak, di saat sempit inilah mereka mahu mengambil kesempatan, mencetuskan ketegangan yang direka-reka seolah formula terbaik di waktu ini adalah menukar kerajaan.

Slogan ‘Kerajaan Gagal’ mereka jaja ke hulu hilir dengan harapan rakyat yang sedia tertekan emosinya akan melompat bangun dan bersetuju dengan mereka bahawa kononnya kerajaan yang ada ini benar-benar gagal serba-serbi dan perlu ia ditukar bagi menyelamatkan rakyat dan negara. Benarkah begitu?

Jika benar kerajaan ini gagal dan wajar ditukar, apakah mereka sangkakan yang PH adalah alternatif yang terbaik? Dalam mereka ghairah menjaja slogan ini sedarkah mereka yang rakyat langsung tidak rindu pada mereka. Kalau benar kerajaan ini gagal rakyat akan melonjak-lonjak menuntut dinaikkan semula PH, naikkan Perdana Menteri dan kerajaan baru PH.

Soalnya adakah kita ada terdengar tuntutan sebegitu? Berselerakah rakyat mahu lihat PH kembali berkuasa? Benar dalam suasana hari ini kehidupan rakyat tertekan, tetapi mahukah mereka kembali menaikkan PH sebagai kaedah penyelesaian?

Mahukah mereka lihat Anwar Ibrahim naik sebagai Perdana Menteri Kerajaan PH yang baru? Mahukah mereka lihat Lim Guan Eng kembali sebagai Menteri Kewangan, Teresa Kok sebagai Menteri Komoditi, Mujahid Yusof sebagai Menteri Agama, Kulasegaran sebagai Menteri Sumber Manusia, Waythamoorthy sebagai Menteri di JPM, Liew Chin Thong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, adakah rakyat khasnya umat Melayu Islam yang tergiur mahu melihat mereka ini kembali berkuasa?

Gerombolan PH lupa, bahawa ketika mereka jatuh dahulu, tiada siapa pun yang meratap atau mengeluh kecuali pimpinan dan penyokong tegar mereka. Yang kecewa kerana hilang kuasa dan kedudukan. Mereka lupa rakyat pasca PRU14 mengharapkan bulan dan bintang yang mereka janjikan semasa berkempen sehingga menang dalam PRU14. Tetapi rupanya apabila diberi kuasa mereka gagal melaksanakan Manifesto yang janjikan. 22 bulan rakyat tertipu angkara kegagalan mereka.

Merekalah yang gagal sebenarnya. Kerajaan PH dengan slogan manifesto ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’telah gagal memenuhi janji-janji mereka yang antaranya termasuklah memacukan ekonomi dan daya saing negara, menghapuskan tol, menstabilkan harga petrol, membina 1 juta rumah mampu milik, mewujudkan 1 juta pekerjaan yang berkualiti dan banyak lagi.

22 bulan mereka memerintah yang mereka lakukan adalah menuding sepuluh jari pada kerajaan yang lepas, mengganggu-gugat status quo kontrak sosial yang ada sehingga mencetuskan kebimbangan di kalangan umat Melayu Islam yang majoriti. Semasa mereka memerintah juga abu mayat Chin Peng berjaya dibawa kembali ke tanah air, perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) diberi pengiktirafan.

Aneh PH yang gagal semasa berkerajaan dahulu, hari ini menghasut rakyat dengan melabelkan Kerajaan Perikatan Nasional pula sebagai kerajaan gagal. Jangan mudah terpedaya dengan hasutan jahat yang semata-mata bermatlamat mahu mengembalikan kuasa kepada mereka.

Dendam hilang kuasa secara mengejut terus menghantui mereka dan mereka sanggup melancarkan apa sahaja taktik untuk merampas kembali kuasa yang terlucut dari tangan mereka itu walaupun terpaksa mempolitikkan isu pandemik ini, asal sahaja mereka kembali berkuasa.

Sesungguhnya penyatuan parti-parti politik Melayu Islam dalam negara, membentuk kuasa politik baru yang mewakili majoriti penduduk dalam negara cukup dibimbangi mereka. Jika berjaya politik baru ini dibentuk pasti yang akan kecundang besar adalah rakan-rakan dalam PH khasnya PKR dan PAN. Malah DAP sendiri akan kehilangan beberapa kerusinya dalam kawasan campuran.

Kerana itu mereka bermatian mahu mengaibkan kerajaan ini, sehingga mereka lupa akan kegagalan mereka sendiri sepanjang 22 bulan memerintah negara dalam kerajaan yang didominasi DAP. Benarlah titah Yang di-Pertuan Agong semasa mengisytiharkan Darurat pandemik ini dahulu bahawa inilah masanya untuk semua pihak bersatu, kurangkan berpolitik dan tumpukan pada pembelaan nasib dan kebajikan rakyat di waktu mencabar ini.

‘Kerajaan Gagal’ adalah pendekatan berpoltik paling muflis dan memalukan yang dilancarkan PH. Rakyat diyakini cukup serik dengan pengalaman berketuakan mereka selama 22 bulan dahulu, dan mustahil mereka mahu merobohkan kerajaan yang ada hanya untuk menaikkan PH kembali bagi mengulangi onarnya. Tumpukanlah pada peperangan menghadapi pandemik ini. Dengan izin Allah S.W.T tidak mustahil kita dapat capai kejayaan dan kerajaan ini kekal memerintah sampai bila-bila.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor