Home Berita PAS Pulau Pinang

YAM Pulau Pinang anjurkan Amal Blood Donation 3.0

59
SHARE

Oleh NAZRI ABD HAMID

PULAU PINANG, 12 OKTOBER – Yayasan Amal Malaysia telah berjaya mengumpulkan 32 beg darah dalam program Amal Blood Donation 3.0 (AMBD) disini, Ahad lalu.

Tabung Darah Hospital Pulau Pinang menjadi tempat pertama diadakan dalam kempen kali ini untuk zon Timur Laut dan Barat Daya pada 10 Oktober.

Pengarah program Mohamad Razilah bin Mahamad Nor berkata bahawa program ini adalah hasil kerjasama Yayasan Amal Malaysia (YAM), Jabatan Amal Malaysia (JAM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Briget Muslimat.

Program ini adalah bertujuan membantu meningkatkan bekalan darah negara, di samping sebagai kerja kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Di Pulau Pinang, penganjuran diadakan di empat zon yang mewakili setiap daerah bagi melancarkan proses pendermaan menurut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di musim COVID-19 ketika ini.

Program anjuran YAM dengan kerjasama Tabung Darah Negara ini akan dilaksanakan pada tarikh dan tempat seperti yang ditetapkan bagi beberapa zon daerah.

Penganjuran juga bakal diadakan pada 17 Oktober ini di daerah Seberang Perai Utara Darul Hadis Tasek Gelugor. Seberang Perai Tengah Pasaraya Mydin Jalan Baru dan AEON BIG Bukit Minyak.

Manakala di Seberang Perai Selatan telah diadakan di Pasaraya C-Mart, Nibong Tebal .

Razilah berkata, pihaknya mensasarkan 300 penderma di seluruh Pulau Pinang yang sekali gus menampung kekurangan bekalan darah dialami Tabung Darah Negara mutakhir ini.

”Kita akan jadikan program ini sebagai program berkala 4 kali setahun dalam membantu pihak hospital untuk kekal dalam keadaan bersedia dalam kes kecemasan,” jelas Razilah.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Amal Baharin Ahmad berkata, “Anggota Jabatan Amal sentiasa bersedia untuk menjayakan program derma darah ini di masa akan datang dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Jabatan kerajaan yang lain di dalam membantu kebajikan masyarakat”, ujar Baharin.