Home Berita PAS Pahang

YAM Pahang prihatin komuniti Rohingya DUN Panching yang terkesan PKP

93
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

PERMATANG BADAK, 14 Jun: Sekalipun komuniti Rohingya di dalam negara ini sebahagian besarnya bukan rakyat Malaysia, namun mereka tetap diberi layanan yang sama dalam hal-hal seperti bantuan kebajikan, keperluan asas, hak-hak kemanusiaan dan seumpamanya.

Semasa berjalannya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Pahang, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Panching telah menerima laporan dan permohonan bantuan daripada wakil komuniti Rohingya yang tinggal di sekitar DUN Panching yang turut terkesan dengan keadaan yang melanda.

Sebagai tanda prihatin terhadap kepayahan yang mereka hadapi, Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Pahang hari ini telah menghulurkan bantuan melalui PKM tersebut dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada kira-kira 200 keluarga komuniti Rohingya yang tinggal di Permatang Badak, Taman Tas, Pandan 1 dan Pandan 2.

Menurut Pengerusi YAM Cawangan Pahang Johari Abd Wahid, penyampaian sumbangan bakul makanan itu telah diadakan di sebuah bangunan kelas tempat komuniti Rohingya menjalankan aktiviti-aktiviti seperti membaca al-Quran, belajar fardu ain dan seumpamanya yang terletak di Kg. Permatang Badak.

Johari berkata YAM Cawangan Pahang telah bekerjasama dengan PKM DUN Panching untuk membiayai perbelanjaan yang diperlukan bagi mengisi bakul-bakul makanan dengan barang-barang keperluan asasi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching YB Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya telah hadir bersama di dalam majlis penyampaian tersebut. Ketika ditemui beliau menyatakan, “Walaupun mereka bukan rakyat Malaysia, mereka juga terkesan sepanjang perlaksanaan PKP ini. Jadi, sebagai saudara se-agama kita wajib membantu mereka sepertimana kita membantu masyarakat kita sendiri”.

Mohd Tarmizi turut memohon jasa baik orang ramai untuk sama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka sama ada berbentuk barangan atau kewangan.

Katanya, sesiapa yang ingin memberikan sumbangan barangan boleh menghantar terus ke pejabatnya (PKM DUN Panching) di hadapan Sekolah Kebangsaan Permatang Badak. Manakala bantuan berbentuk kewangan boleh disalurkan terus ke mana-mana akaun berikut:

PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT DUN PANCHING
BANK MUAMALAT: 06010004266719
Talian pengesahan: 0162640448

YAYASAN AMAL MALAYSIA CAWANGAN PAHANG
MAYBANK: 556011068015
Talian pengesahan: 0139320950

[Video Oleh: Alfian Ali]