Oleh FATIMAH SHAMSUDDIN
SETIAWANGSA, 6 Nov: PAS Wilayah Persekutuan menyertai Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 67 yang berlangsung secara ‘hybrid’ bermula hari ini.
Kira-kira 50 orang perwakilannya terdiri daripada 4 orang perwakilan daripada 13 kawasan dalam PAS Wilayah Persekutuan dilaporkan hadir.
Sebahagian perwakilan hadir secara fizikal di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu dan selebihnya berkumpul di Pejabat Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan di Darul Madani, Diamond Square untuk mengikutinya secara atas talian.
Setiap perwakilan diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan penganjur seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan mengemukakan keputusan ujian kendiri COVID-19 sebelum dibenarkan memasuki dewan muktamar.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu, Salbiah Abd Wahab, penggerak PAS sangat memandang besar kepada muktamar tahunan kerana ia adalah medan muhasabah bukan hanya kepada pimpinan tetapi juga kepada semua ahli di seluruh peringkat.
“Melihat dari kehadiran penuh perwakilan Wilayah Persekutuan di Darul Madani hari ini, ia menunjukan komitmen yang sangat baik oleh penggerak PAS di WP. Hatta, perwakilan di Labuan juga turut berhimpun meski muktamar dilaksanakan adalah secara hybrid.
“Sesuatu yang membanggakan juga apabila semua negeri di semua peringkat mampu menjayakan muktamar ini meski secara hybrid. Ia seiring dengan tuntutan untuk melaksanakan tugas secara berorganisasi,” ujarnya.