Home Artikel Dewan Pemuda PAS Malaysia

Waspada Ancaman Golongan Liberal

638 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Gerakan golongan liberal yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini perlu diwaspadai oleh seluruh umat Islam.

Menurut Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, jika sebelum ini gerak kerja gologan berkenaan dilakukan secara tersembunyi, kini mereka semakin berani menyebarkan fahaman mereka secara terbuka.

Beliau turut mendedahkan modus operandi golongan liberal yang beroperasi di seluruh dunia termasuk di negara ini, antaranya merungkai sendi-sendi Islam dari diri umat Islam serta merungkai sistem-sistem kenegaraan.

Menurutnya lagi, golongan liberal kini dilihat semakin aktif menyebarkan fahaman mereka kepada masyarakat khususnya umat Islam menerusi pelbagai platform serta kaedah.

Ini katanya, bertujuan mengelirukan umat Islam akan konsep Islam yang sebenarnya hingga akhirnya melonggarkan ikatan Islam dalam diri mereka.

“Mereka (merungkai ilmu islam dengan modus operandi “confuse and rule” (Kelirukan mereka dan atasi mereka).

“Hari ini, ditimbul pula istilah dosa peribadi, walhal persoalan dosa peribadi adalah suatu konsep bidaah yang ditentang (dhalalah).

“(Kemudian) Munculnya NGO-NGO yang ditaja negara luar membawa pandangan-pandangan (terhadap isu-isu berkaitan Islam) yang bercanggah dengan pandangan para ulama muktabar,” katanya di hadapan ribuan anak muda dalam slot Wacana Tarbawi semena Ijtima’ Tarbawi 6.0 di sini petang tadi.

Proses Normalisasi

Menurut beliau lagi, pengaruh pemikiran liberal telah menyebabkan berlakunya proses normalisasi atau pencairan identiti dalam kalangan umat Islam.

Proses ini ujarnya, berlaku melalui pelbagai faktor seperti budaya hedonisme, pengaruh gaya hidup barat, kejahilan dalam masyarakat, dan sebagainya.

Normalisasi ini menurutnya lagi akan menyebabkan umat Islam semakin hilang sensitiviti terhadap perkara-perkara dosa hingga akhirnya dosa dianggap sebagai sesuatu yang biasa.

“Proses normalisasi dosa ini sudah menjadi budaya, hari ini orang menganggapnya biasa.

“(Walhal) Dosa tetap dosa, boleh jadi dosa kecil itu boleh mendatangkan murka Allah, kecil atau besar tidak boleh dianggap biasa,” tegasnya.