Oleh : Mustaman Bin Mustain
13 Januari 2020
KIMANIS : PAS menyarankan kepada pengundi Kimanis untuk menjadikan keputusan PRK ini sebagai isyarat yang jelas kepada kerajaan Warisan / Ph bahawa rakyat mahukan satu perubahan dari sudut limpahan ekonomi, peluang pekerjaan, hubungan kaum & agama yang lebih harmoni.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Abdul Hisham Othman, berkata ia sekaligus bukti bahawa rakyat muak dengan retorik dan janji-janji kosong yang ditaburkan oleh Warisan / Ph sepanjang PRU14 namun masih banyak belum ditunaikan.
“Justeru, calon daripada BN perlu dimenangkan bagi menjadikan isyarat ini realiti sekaligus membawa suara rakyat Kimanis ke parlimen,” jelas Abdul Hisham pagi tadi ketika diminta mengulas berkenaan PRK ini.
Tambahnya, rakyat Kimanis perlu mewakili rakyat Sabah dengan menolak Warisan / Ph yang terbukti tidak mampu menunaikan janji malah suka memainkan isu perkauman dalam siri kempen mereka.
“PRK Kimanis yang berlangsung kini sedang menyerlahkan sikap dan halatuju sebenar para pemimpin yang berjuang untuk rakyat atau hanya untuk kepentingan tertentu semata-mata,” ulasnya lagi.
“Ia bukan hanya berkisar soal peribadi calon, malah bukan juga persoalan parti tempatan atau Semenanjung sebaliknya sejauhmana parti bertanding BN dan Warisan mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” tambahnya.