Kuching, 16 September 2025 – Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (LPN DMPNS) dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya (LPN DMPKPJ) serta Lajnah Dakwah DMPNS telah mengadakan program Edaran Kit Hari Malaysia bersempena sambutan Hari Malaysia di Pasar Raya Kubah Ria, pagi semalam.
Program yang berlangsung sekitar jam 9 pagi itu menyasarkan masyarakat pelbagai kaum termasuk Cina, India, Melayu dan Iban yang berkunjung ke kawasan berkenaan.
Edaran kit sebanyak 50 buah tersebut merupakan kipas tangan yang mempunyai imej bunga raya dihiasi tulisan bermesej “Kami Anak Malaysia”. Sebuah risalah bertajuk “Warisan Cerita Rakyat Sarawak” juga dikepil bersama edaran tersebut.
Inisiatif ini bertujuan mengeratkan hubungan antara PAS dengan masyarakat majmuk, menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Malaysia, serta menyemarakkan keharmonian khusunya masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama dalam Sarawak.
Turut hadir dan mengetuai edaran ialah Diyana Jamil, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional DMPNS, Azlin Azhar, Ketua Lajnah Dakwah DMPNS, serta Farah Hanim, Ahli Jawatankuasa LPN DMPKPJ. Kehadiran pimpinan Muslimat PAS ini menyerikan lagi suasana sambutan di kawasan pasar raya berkenaan.
Menurut Diyana Jamil, edaran ini adalah simbolik semangat kebersamaan dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum di Malaysia. “Hari Malaysia adalah hari yang menyatukan kita sebagai sebuah negara. Melalui program ini, PAS ingin menzahirkan mesej bahawa kita meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan bersama,” katanya.
Sementara itu, Azlin Azhar menekankan kepentingan dakwah yang penuh hikmah melalui pendekatan mesra masyarakat. “Kami mahu mendekati semua tanpa mengira latar belakang, kerana semangat perpaduan dan keharmonian inilah yang menjadi teras negara kita,” ujarnya.
PAS Sarawak berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkukuh semangat muhibah dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.