Home Berita PAS Perlis

Warga PASTI Perlis Terima Taklimat SPPM, SJM

948
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Seramai 116 orang peserta telah mengikuti taklimat pelaksanaan Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) dan Sistem Jadual Mumtaz (SJM) yang diadakan di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini, semalam.

Mereka terdiri daripada para guru serta penggerak PASTI dari seluruh negeri Perlis.

Taklimat telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh.

Antara perkara yang disampaikan termasuklah objektif pelaksanaan SPPM sebagai instrumen penilaian perkembangan murid serta lima elemen yang terkandung dalam SPPM iaitu Celik Al Quran, Celik Membaca, Celik Minda, Celik Cerdas dan Celik Sahsiah.

Turut disentuh adalah Sistem Jadual Mumtaz yang baru sahaja diperkenalkan serta akan dilaksanakan di seluruh institusi milik PASTI menjelang tahun 2020.

SPPM adalah sistem baharu yang diperkenalkan oleh PASTI Malaysia bertujuan mewujudkan sistem penilaian perkembangan murid PASTI secara lebih berkesan dan menyeluruh di samping mengurangkan kebergantungan kepada kaedah peperiksaan manakala pelaksanaan Jadual Mumtaz pula bertujuan membentuk suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan berfokus melibatkan tiga fasa pelaksanaan iaitu Transisi dan Motivasi, Pandai Membaca dan Pengukuhan.

Pelaksanaan kedua-duanya nanti dilihat bertepatan dengan skop yang telah ditetapkan oleh Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) iaitu ke arah meletakkan kualiti Pendidikan Islam pada tahap yang tinggi bagi menjayakan matlamat melahirkan insan soleh pintar.