Lembah Pantai, 25 November – Muslimat PAS Lembah Pantai meluaskan usaha kebajikan dengan menjadikan ziarah penduduk sebagai aktiviti rutin yang menyasarkan warga emas dan uzur khususnya di sekitar kejiranan ini.
Pada kali ini, misi ziarah kasih yang diketuai oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan berkesempatan menziarahi dua buah keluarga di Blok C PPR Kerinchi.
Puan Sakinah Bee bt Abu Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Kinah oleh masyarakat setempat merupakan warga emas yang mengalami sedikit keuzuran, tinggal bersama suami beliau di perumahan tersebut.
Manakala kunjungan kedua melibatkan pasangan warga emas, Encik Mansurdin bin Ahmad serta isteri dan cucu yang tinggal bersamanya.
Difahamkan, Encik Mansurdin menghidap penyakit saraf manakala isteri beliau menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu disebabkan oleh masalah buah pinggang.
Rombongan menghulurkan sumbangan berupa wang dan beras sebagai tanda ingatan kepada penerima serta mengurangkan sedikit beban yang ditanggung.
“Menerusi usaha ini, kita mempergiatkan aktiviti ziarah bagi menyelami dan menzahirkan rasa cakna dengan nasib penduduk yang diuji dengan pelbagai dugaan,” ujar Dr Salmah.