Home Berita PAS Terengganu

Warga emas terima baik suntikan vaksin

171
SHARE

Oleh : Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 6 Jun – “Pak cik rasa lega sebab sudah terima vaksin, orang tua (warga emas) yang lain kena datang ambil suntikan supaya tidak dijangkiti COVID-19,” kata Ismail Ibrahim, 79.

Dia merupakan salah seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri bermula April lalu, turut mengajak lebih ramai rakyat di negeri ini terutama warga emas untuk mendaftar sebagai penerima vaksin itu.

Tambahnya lagi, selepas menerima suntikan dos pertama, dia berasa lega dan rasa lebih selamat daripada ancaman COVID-19 yang semakin mengganas di daerah itu.

“Saya tahu suntikan ini bertujuan untuk melawan Covid-19, tetapi, rasa takut tetap ada.

“Walaupun ada segelintir pihak kata tak elok dan ada pihak lain pula kata tidak ada masalah apa..lepas pak cik sendiri cucuk vaksin ini barulah pak cik rasa tindakan ini adalah tepat demi kebaikan semua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalani suntikan tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin, Wan Hawa Wan Ismail, 77, berkata, dia tidak merasa sakit ketika disuntik mahu pun selepas segala urusan berkaitan selesai.

“Saya bersyukur kerana sudah diberi peluang untuk menerima vaksin dan saya mengajak semua untuk mendaftar vaksinasi, kerana ini merupakan salah satu cara untuk kita bersama memerangi penularan COVID-19.

“Selepas disuntik, saya tidak rasa apa-apa kesan atau gangguan kesihatan. Malah, rasa seronok pula kerana sudah divaksin.

“Saya rasa program ini bagus dan takkan ragu-ragu untuk datang bagi menerima suntikan buat kali kedua nanti,” katanya.

Bagi, Tengku Azman Shah Tengku Adnan, 55, yang turut menerima vaksin berkata, orang ramai terutamanya golongan warga emas tidak perlu takut dengan program vaksinasi ini, kerana ia bertujuan untuk memulihkan keadaan.

Tambahnya, kehadiran ke PPV membuktikan dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Dalam perkembangan yang sama, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik Ajil, Dr. Izwan Syafiq Zakaria memaklumkan, seramai 100 individu disasarkan menerima vaksin di Dewan Sivik Ajil setiap hari bagi fasa kedua ini dan setakat ini 370 penerima telah menerima suntikan vaksin disini.

“Jumlah itu bagaimanapun akan berganda kerana nanti akan sampai satu tahap di mana kita perlu menguruskan suntikan penerima dos pertama dan dos kedua.

“Jadi, kita akan laksanakan program ini secara teratur,” katanya.