Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Wanita Sejahtera Bersama Islam

250 views
SHARE

PERUTUSAN SEMPENA
HARI WANITA SEDUNIA
“Wanita Sejahtera Bersama Islam”

1. Peranan wanita dalam Islam sentiasa segar dalam lipatan sejarah malahan tokoh wanita seperti Saidatina Khadijah Khuwailid r.a, Saidatina Aisyah r.a, Rabiatul Adawiyah, Sumayyah Khayyat serta beberapa lagi serikandi Islam meniti di bibir masyarakat kerana pengorbanan dan jasa mereka.

2. Islam memberikan penghormatan terbaik kepada wanita sehingga hak wanita sentiasa diberi keutamaan dengan matlamat maruah serta peribadi wanita dilindungi.

3. Islam datang dengan penuh kesejahteraan terutama buat penganutnya dan juga kepada yang bukan Islam, Islam ‘rahmat untuk semua’.

4. Kesejahteraan Islam dinikmati wanita dengan garis panduan kehidupan yang harmoni bersandarkan kepada syariat bahkan ia tidak memenjarakan mereka berbakti dalam menyampaikan dakwah.

5. Wanita perlu menyelongkar rahsia dan hikmah penciptaan wanita mengikut percaturan Allah S.W.T, serta kedudukan mereka dalam masyarakat iaitu tidak hanya dipergunakan demi kecantikan sebagai pameran.

6. Seharusnya wanita sedar dan yakin akan keistimewaan mereka diciptakan oleh Allah S.W.T dalam dunia ini bukan sekadar menjadi penyeri yang mencantikkan dunia malah wanita ini tugas dan tanggungjawabnya lebih besar iaitu untuk mendidik generasi pemimpin dunia.

7. Ungkapan “tangan yang menghayun buaian juga bisa menggoncangkan dunia”, mencerminkan posisi wanita bermula dari rumah dalam menyediakan legasi pejuang Islam menerusi pembentukan kefahaman Islam tulen sebelum berpencak di lapangan sebenar.

8. Muslimat PAS dengan penuh iltizam membawa teras ‘AKIFI khusus buat wanita pembangun ummah juga kepada seluruh wanita di luar sana.

9. ‘AKIFI merangkumi 3 nilai utama yang perlu ada pada diri setiap wanita; iaitu ‘Alim (berilmu), Haraki (bergerak ke medan sebenar) serta Sufi (menjaga rohani dan diri untuk taqarrub kepada Allah).

10. Muslimat PAS secara khusus mengajak semua wanita di luar sana untuk terus memperkayakan diri dengan ilmu, tuntutlah sebanyaknya ilmu sama ada ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah kerana setiap ilmu itu ada peranannya kepada kita.

11. Adalah lebih baik jika seorang wanita itu menjadi pakar dalam bidang masing-masing sebagaimana Saidatina Aisyah r.a yang menjadi rujukan sahabat, serta Saidatina Khadijah r.a yang menjadi usahawan terkemuka di zamannya.

12. Selain itu, tugas wanita secara dasarnya bukan hanya di rumah semata-mata, mereka seharusnya bergerak keluar merasai denyut nadi masyarakat sekitar, pastinya kita akan menemui ramai lagi wanita dan masyarakat yang memerlukan didikan dan sentuhan agama. Di sinilah peranan wanita untuk membentuk ummah selari dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

13. Yang terakhir perlu disemat kukuh dalam jati diri wanita ialah penjagaan aspek rohani dalam diri. Islam mengajar kita yakin dan percaya bahawa Allah S.W.T adalah Tuhan sekalian alam. Justeru, setiap wanita mesti percaya dan yakin akan kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T dalam setiap perkara.

14. Wanita diraikan dengan usaha menjaga keperibadian muslimah lantas ia akan melahirkan kecantikan semulajadi dari aspek dalaman dan luaran sehingga tiada siapa berani mengambil kesempatan.

Wanita Solehah Negara Hasanah

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Mac 2018 bersamaan 20 Jamadilakhir 1439