Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Wanita dan Kemurungan: PERLUKAH BANTUAN?

1481
SHARE

Wanita dan Kemurungan: PERLUKAH BANTUAN?

Secara global, seramai 450 juta individu di seluruh dunia mengalami gangguan mental. Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO menganggarkan 1 dalam 4 individu mengalami gangguan mental pada satu-satu ketika dalam kehidupan mereka.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang telah dijalankan pada tahun 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2% (anggaran 4.2 juta).

Ini bermakna satu dalam tiga rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental ! Dan angka ini semakin membimbangkan dari tahun demi tahun.

Antara penyumbang gejala gangguan mental adalah faktor kemurungan. Malah pesakit wanita adalah penyumbang tertinggi kepada penyakit mental berbanding lelaki.

Nah! Seharusnya penyakit mental ini tidak perlu lagi menjadi isu ‘taboo’ dalam kalangan masyarakat. Pesakit-pesakit ini perlu dibantu agar keadaan mereka bertambah baik. Kefahaman serta sokongan masyarakat sekeliling juga amat penting supaya mereka dapat terus menjalani kehidupan seperti insan lain.

Jika anda atau sesiapa di sekeliling anda mengalami gejala gangguan mental, dapatkan bantuan serta rawatan segera supaya keadaan tidak semakin parah. Kita sebolehnya tidak mahu lagi kes-kes yang acapkali terpampang di berita dan dada akhbar berkenaan individu yang mengalami penyakit mental sehingga mengorbankan nyawa sendiri atau insan sekelilingnya tanpa disedari.

Hentikan stigma, dapatkan bantuan segera!

Jadikan kisah di bawah sebagai satu ikhtibar.

———–

Tok… Tok… Tok…

Pintu bilik pemeriksaan pesakit diketuk.

Kelihatan seorang wanita muda masuk bersama suami dan bayi kecil yang comel. Pakaiannya kemas namun mukanya tampak sugul, matanya hanya melirik seketika ke arah doktor yang menanti di dalam bilik tersebut.

“Sila duduk, Puan,” doktor bahagian Psikiatri yang bertugas mengalu-alukan pesakit yang masuk.

Surat rujukan yang diterima dari Klinik Kesihatan dibaca sepintas lalu.

“Apa khabar Puan? Ada apa-apa yang boleh dibantu?” tanya doktor wanita tersebut.

Wanita muda itu hanya tunduk tanpa jawapan balas. Sesekali tangannya mengusap bayi yang sedang dikendong.

“Menurut surat rujukan dari doktor Klinik Kesihatan, Puan ada rasa sedih dan tertekan ya baru-baru ni?”

Sekali lagi pertanyaan tersebut tidak berjawab. Namun mata wanita muda itu mula merah berair. Selang beberapa saat, air matanya deras mengalir. Esak tangisnya berlarutan beberapa minit.

“Saya stres, doktor… Kadang-kadang saya sampai hilang pertimbangan. Saya pernah hantuk kepala dekat dinding, dulu pernah juga rasa dah tak berguna hidup lagi…”

“Anak kecil ni pun saya pernah goncang kuat-kuat. Entah… Saya sayang sangat anak ni. Tapi kadang saya pun tak sedar saya buat macam tu.”

Suaranya serak dalam tangisan.

Tisu dihulurkan. Wanita muda awal 30-an itu menyeka sisa air mata yang masih berbekas.

“Huhhhhh…” beliau menarik nafas. Panjang.

Rupa-rupanya sudah lebih enam bulan beliau memendam rasa. Perasaan murung yang dialami sejak mengandung berlarutan, malah bertambah teruk sejak melahirkan anak empat bulan lepas.

Tidur malamnya tidak lena.

Beliau juga sudah tiada minat melakukan perkara yang disukai sebelum ini.

Perasaan bersalah sentiasa menghantui.

Badannya terasa lemah, tidak bertenaga.

Daya tumpunya juga kurang.

Selera makan merudum teruk.

Malah, sejak beberapa minggu lepas juga dirinya mula mendengar suara-suara halus yang menunjukkan tahap kemurungannya sudah semakin parah sehingga mengalami simptom psikosis.

Namun segalanya dipendam seorang diri.

“Saya risau saya susahkan suami pula kalau saya bagi tahu. Saya takut suami tak faham,” alasan yang bukan jarang-jarang disuarakan.

Bagi wanita itu, ada hati yang perlu dijaga walau akhirnya memakan diri sendiri. Beliau yang ketika itu tinggal bersama mertua juga seringkali makan hati apabila ibu mertuanya kerap mempertikaikan cara beliau menjaga anak yang baru dilahirkan.

“Mak mertua cakap susu badan saya cair, tak berkhasiat untuk anak,” tambahnya.

Si suami hanya menunduk. Mungkin terkejut rupa-rupanya tindakan si isteri yang berbeza kebelakangan ini adalah kesan bebanan panjang yang didiamkan.

————

‘Diagnosis: Major Depressive Disorder with Psychosis’

Pesakit wanita tersebut diberikan preskripsi ubat untuk kemurungan dan psikosis yang dialami. Suaminya juga diberikan penerangan akan keadaan yang dialami oleh wanita itu, betapa sokongannya amat penting menghadapi situasi kini. Si suami mengangguk tanda faham.

———–

Dr. Nur Atikah
MusMedik (Muslimat Medical Team)
LKK DMPM

Rujukan:

1. Kenyataan akhbar Menteri Kesihatan Malaysia: Masalah Kesihatan Mental di Malaysia.
http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view_page/21/796

2. http://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2018/03/395427/kes-sakit-jiwa-di-malaysia-semakin-merisaukan/amp

3. http://www.kosmo.com.my/negara/penyakit-mental-masalah-kedua-serius-di-malaysia-1.652094

4. https://www.hmetro.com.my/hati/2018/04/327729/derita-dalam-senyap