Home Berita PAS Pahang

Wabak tidak halang kempen keahlian PAS di Pahang

63
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

TEMERLOH, 14 Jun: Wabak pandemik Covid-19 yang telah melanda negara tidak menghalang berjalannya kempen keahlian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di negeri Pahang.

Berbagai pihak khususnya cawangan-cawangan PAS di seluruh negeri itu sudah pun menyambut seruan mempergiatkan pendaftaran keahlian PAS untuk tempoh satu tahun mendatang.

Kempen pendaftaran keahlian baru secara besar-besaran untuk tempoh bermula 1 Jun 2021 hingga 31 Mei 2022 telah dilancarkan oleh jawatankuasa tertinggi PAS Pahang pada 22 Mei lalu dengan tema ‘PAS PILIHANKU’.

Beberapa tinjauan yang dibuat oleh penganjur ke beberapa cawangan mendapati ahli-ahli jawatankuasa dan jenteranya telah menggunakan pelbagai cara untuk mengajak orang ramai menyertai PAS dengan cara mendaftar dengan rasmi.

Antaranya dengan cara membuat panggilan-panggilan telefon kepada nombor-nombor yang dikenali. Kempen juga berjalan melalui hantaran-hantaran promosi dalam kumpulan-kumpulan yang menggunakan aplikasi Whatsapp, Facebook, Instagram dan seumpamanya.

Ada juga yang mengambil peluang mendaftar keahlian PAS sewaktu menyampaikan bantuan-bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka yang memilih cara ini telah dinasihatkan agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Pengerusi Pelan Tindakan Strategik (PTS) Negeri Pahang, YB Andansura Rabu, Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) telah merangka dan menetapkan dalam Pelan Tindakan Strategik (PTS) Negeri Pahang bermula 2018 hingga 2021 sasaran dan tambahan ahli baru setiap tahun.

“Kata orang Pahang, tak kenal maka tak cinta. Melalui kempen ini PAS Pahang berusaha mendekatkan PAS dengan masyarakat dan secara tidak langsung menarik lebih ramai orang menyertai PAS.” ulas Andansura yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah.

Antara objektif utama kempen ini adalah sebagai salah satu rangsangan menggiatkan aktiviti menambah keahlian PAS di semua peringkat dan mewujudkan persaingan sihat di antara cawangan dan kawasan dengan berlumba-lumba menambah ahli baru.

Tambah Andansura lagi, ia juga bersifat serampang dua mata yang bakal menghidupkan jentera PAS Pahang serta program-program berbentuk kemasyarakatan secara maksimum tanpa mengabaikan SOP yang ditetapkan oleh KKM.

Kempen ini menawarkan ganjaran wang tunai serta insentif berupa komputer riba dan telefon bimbit sebagai hadiah galakkan bagi kawasan-kawasan yang berjaya mendaftar pendaftaran terbanyak, kedua dan ketiga terbanyak serta hadiah saguhati keempat terbanyak.

Selain itu, pihak sekretariat juga berbesar hati menyediakan satu hadiah bonus berupa sebuah komputer riba bernilai RM3,000 bagi cawangan-cawangan yang berjaya mendaftar ahli baru terbanyak.

Semua ahli PAS perlu menyemak dan memastikan pasangan serta anak-anak, saudara mara dan rakan-rakan yang cukup syarat didaftarkan sebagai ahli PAS. Hanya kawasan yang mencapai sasaran peningkatan sahaja layak menebus hadiah lumayan yang disediakan.

“Negeri menyasarkan setiap kawasan mencapai tambahan ahli baru sebanyak 10% setahun. Keputusan ini dapat dicapai jika semua pihak di setiap peringkat menggembeling tenaga bersama merealisasikan kempen ini.

“Kami berharap semua ahli PAS mengambil peranan menarik seramai mungkin ahli baharu menyertai parti berkebajikan ini dan pimpinan kawasan serta cawangan mesti saling berkerjasama membantu menyemarakkan dan memastikan kempen ini berjaya.” ujar Andansura penuh harap.

Kempen penambahan ahli baharu peringkat nasional telah bermula sejak 4 tahun lalu dengan pelancaran ‘Kempen PAS Pilihanku’ oleh PAS Pusat pada 21 Januari 2017 di Shah Alam.

Kempen ini telah menunjukkan kejayaan memberangsangkan apabila seramai 41,953 orang berjaya didaftarkan sebagai ahli baharu pada tahun itu.

Pada tahun 2018, ‘Kempen PAS Pilihanku 2.0 ‘ dilancarkan dan seterusnya hingga kini kelolaan Lajnah Keahlian PAS dipengerusikan Dato’ Takiyuddin bin Hassan, Setiausaha Agung PAS.