Home Berita PAS Pahang

Ustaz Zarimi Ketua Pemuda PAS Pahang baharu

307
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 19 Mac ◊ Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) kali ke-41, semalam, sebulat suara memilih Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih Al Syubrawi sebagai Ketua Pemuda PAS Pahang yang baharu.

Beliau menggantikan tempat penyandang sebelum, Ustaz Aireroshairi Roslan yang tamat tempoh perkhidmatan di dalam Pemuda.

Seramai 112 perwakilan daripada 14 kawasan seluruh Pahang bersidang pada muktamar tahunan kali ini yang turut menyaksikan keputusan menang tanpa bertanding bagi empat jawatan tertinggi lain.

Tempat Ustaz Zarimi sebagai Timbalan Ketua Pemuda sebelum ini digantikan oleh Dr. Firdaus Ismail sementara Naib Ketua, Ustaz Zulfadli Zakariah dan Pengerusi Tetap, Ustaz Hazmi Dibok bersama Timbalannya, Ustaz Aireroshairi Roslan diumum menang tanpa bertanding.

Menyusur ibrah Ayat 4 di dalam Surah As-Shoff, Ustaz Zarimi di dalam ucapan penggulungannya berkata, bahawa di dalam perjuangan menegakkan agama, kesatuan atau jamaah haruslah teratur, kuat dan kukuh umpama sebuah bangunan.

Sepertimana batu-bata bangunan yang kemas tersusun pada tempatnya, katanya, tidak kira besar atau kecil, setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing membantu perjuangan.

“Untuk menegakkan agama Allah, kita perlu bekerja bersama- sama sebagai satu pasukan, kecil atau besar masing-masing ada peranan dan posisi masing-masing.

“Bukan senang mengurus manusia, tetapi untuk mencapai kemenangan tiada cara lain, kena usaha buat apa yang Allah suruh dan suka.

“Kami bukanlah yang terbaik untuk berada di tahap ini. DPPN Pahang sangat memerlukan sokongan dan kerjasama dari seluruh pemuda di semua peringkat untuk menjayakan matlamat jemaah,” ujarnya.

Jelas beliau, DPPNP sedang mempersiapkan halatuju bagi memperkukuhkan kemenangan 15 kerusi PAS di Pahang serta memastikan peningkatan sokongan anak muda kepada PAS sehingga ke akar umbi.

Menurut beliau, satu pelan strategik yang lengkap dan menyeluruh telah dirangka mencakupi peranan semua sektor dan lajnah bagi membangun dan mempertingkatkan kekuatan DPPNP menuju PRU ke-16 nanti.

Muktamar pemuda tahun ini berlangsung di Hotel Darul Makmur, Jerantut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, YB Afnan Hamimi Taib Azamudden, bukan sekadar satu wasilah bagi melunaskan tuntutan Perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Ia juga merupakan medan introspeksi dan refleksi aksi kepemudaan sebelum meneruskan kesinambungan gelombang kebangkitan rakyat terhadap perjuangan agama dan ummah.

Beliau turut merakam ucapan penghargaan buat Ustaz Aireroshairi di atas sumbangan dan bakti selama beliau berkhidmat sebagai Ketua Pemuda dan juga sahabat-sahabat yang telah berkorban mengisi umur muda di dalam perjuangan.

“Ayuh, pulanglah kita ke kawasan masing-masing, bersiap-siagalah untuk terus bekerja dan meneruskan agenda parti demi mencapai matlamat jemaah,” ujarnya optimis.