Home Berita PAS Terengganu

Produk usahawan Terengganu bakal tembusi pasaran Indochina

43
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui kerjasama Asean Mall bersama  Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal meneroka pasaran produk usahawan Terengganu ke Indochina.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pihaknya telah berbincang supaya  kerjasama ini dapat membuka ruang kepada usahawan tempatan yang mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara terutamanya melibatkan negara yang berdekatan.

“Usahawan Terengganu mempunyai pelbagai produk menarik dan berpotensi untuk menembusi pasaran Indochina namun mereka kekurangan informasi bagi menjalinkan perhubungan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Jadi salah satu hasrat saya melalui YPU, kita akan cuba memudahkan urusan yang berkaitan terutamanya dalam membina rangkaian untuk memasarkan produk ke negara -negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Pengarah Operasi Asean Mall, Mohd Zamri Said.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekuti YPU, Mohd Rashdan Muda dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Izani Ab. Ghani.

Tambah Nurkhuzaini, sehingga kini, YPU banyak membuka ruang kepada usahawan-usahawan Terengganu dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, namun begitu masih ramai lagi yang tidak memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan yang sediakan oleh pihak YPU oleh mereka.

“YPU mempunyai bantuan-bantuan khas yang disediakan dalam membantu mereka untuk menjadikan produk mereka mudah untuk diterima masuk dalam pasaraya-pasaraya antaranya seperti bantuan pembungkusan, pelabelan, barcode dan fakta nutirisi.

“Dengan bantuan ini jugalah usahawan-usahawan dapat menembusi pasaran antarabangsa selain mendapatkan bantuan bagi mendapatkan sijil-sijil yang berkaitan seperti Sijil Halal dan GMP/HACCP,” katanya.