Home Berita PAS Melaka

Ustaz Tok Rahmat tak tunggu peruntukan kerajaan bantu rakyat

323
SHARE

Oleh IBNU JANIE

LEDANG, 1 Mac: Tidak perlu tunggu peruntukan kerajaan untuk membantu rakyat yang sedang dilanda musibah, kata calon Perikatan Nasional – PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Serom, Ustaz Rahmat Daud.

Menurut beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Tok Rahmat, ini telah beliau praktikkan sendiri ketika beliau memegang jawatan sebagai ketua kampung semasa berlaku bencana ribut tidak lama dahulu.

“Ribut yang baru-baru ni, saing dengan Melaka kena hari tu, tempat saya enam buah rumah kena (ribut). Terangkat bumbung.

“Bila saya seru kawan-kawan, okay, saya cakap sebab kita ada enam buah rumah kena, ada rumah kena hempap pokok, malam itu juga kita buat. Kerat dahan pokok. Panggil kawan-kawan,” jelas beliau.

Bagi Ustaz Tok Rahmat, sebenarnya yang penting ialah bagaimana sikap dan prinsip yang dipegang oleh seseorang pemimpin yang memimpin sesebuah kampung itu sendiri.

Tambah beliau lagi, apabila pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal datang membuat tinjauan, mereka bertanya adakah beliau telah mendapat bantuan daripada kedua-dua agensi ini?

Katanya lagi, beliau memberitahu mereka bahawa ini adalah inisiatif segera beliau kerana tidak sanggup melihat penduduk di bawah jagaannya berpanas di dalam rumah yang tidak beratap.

“Dia (pegawai JKM dan Baitulmal) cakap, kalau semua ketua kampung macam ni, senang. Memang kita nak semua macam ni, berfahaman macam ni.

“Kadang-kadang kita yang mematikan benda tu. Kita memanjakan dengan nak mula kerja… peruntukan, nak mula kerja… peruntukan. Tapi kita tidak (begitu). (Sikap ini) macam menghilangkan semangat untuk bekerjasama,” ujarnya lagi.

Ustaz Rahmat berkata demikian di dalam sebuah video kempen yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau semalam.

Beliau berdepan persaingan empat penjuru dengan ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi (PH-PAN), Abdul Azim Abdul Malek (Pejuang) dan Khairin-Nisa Ismail (BN).

Kerusi N11-DUN Serom ini disandang Faizul Amri Adnan daripada PKR yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dengan majoriti 2324 undi.