Home Fastaqim

Ustaz Syed Kadir Kongsi Panduan Istiqamah

657 views
SHARE

Ustaz Syed Qadir Kongsi Panduan Istiqamah

Oleh: Hanif

KUALA NERUS, 29 Sep – Selebriti pendakwah tanah air negara, Ustaz Syed Qadir Al-Joofree merupakan salah seorang jemputan pentas Fastaqim 2.0 Kuala Terengganu.

Beliau semasa menyampaikan kuliah maghrib sebentar tadi berkongsi beberapa panduan istiqamah berpandukan surah Hud ayat 112 hingga 114 untuk dihayati semua penyokong gerakan Islam.

Pesan beliau, umat Islam seharusnya mengikut panduan yang digariskan Islam melalui Al-Quran dan Sunnah.

“Pertama, jangan kita melampaui batas daripada hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Seterusnya, janganlah kita cenderung kepada orang yang zalim. Sentiasalah kita duduk dan mendokong ulamak serta orang-orang yang soleh agar kita dapat mencontohi mereka.

“Ketiga, kita perlulah menjaga solat kita kerana ianya adalah hubungan seorang hamba kepada Tuhannya,” terang beliau.

Ustaz Syed Qadir turut mengingatkan hadirin supaya ikhlas dan bersabar menempuhi mehnah sepanjang berjuang.

Ulas beliau, pejuang Islam mesti menjauhi sanjungan dan pujian di atas kerja-kerja yang laksanakan sambal mengingatkan bahawa segala balasan adalah daripada Allah S.W.T.

Dalam slot ringkas tersebut, beliau turut mengajak para hadirin menanam azam untuk terus istiqamah di jalan dakwah.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar terus beristiqamah bersama perjuangan Islam dan dibangkitkan bersama baginda Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak,” kata beliau.

Terdahulu, peserta Fastaqim bersama dalam solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr. Ustaz Nik Zawawi Haji Salleh.