Home Berita PAS Pahang

Ustaz Shahril Azman: Warga Felda di Johor undilah PN

138
SHARE

Oleh: HASLILAWATI ABDULLAH

KUALA KRAU, 22 Feb :: Sempena Pilihanraya Negeri Johor yang akan diadakan pada 12 Mac 2022 nanti, Ahli Dewan Negeri (ADN) Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah mengambil inisiatif memberi suntikan semangat kepada seluruh warga Felda Negeri Johor dengan menukilkan hantaran yang amat bermakna di Facebook peribadi beliau semalam.

Hantaran tersebut beliau judulkan Warkah Buat Warga Felda Negeri Johor. Secara umumnya Ustaz Shahril mahukan para pengundi di kalangan warga Felda di Johor sedar dan menghargai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau memulakan coretannya dengan mengimbas kembali pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini yang diterajui Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yasin, walaupun dalam tempoh singkat, tetapi telah membuktikan kesungguhan membantu warga Felda.

Kerajaan Perikatan Nasional telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam membawa perubahan besar kepada warga Felda.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional ketika itu,  tidak mampu dilakukan oleh kerajaan sebelumnya, walaupun diberi peluang memerintah dan mentadbir negara dalam tempoh puluhan tahun.

Ustaz Shahril menurunkan beberapa fakta yang merupakan antara perubahan besar yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional, iaitu:

1) Pengambil alihan semula pegangan lebih 80% kepentingan di FGV.

2) Pelupusan 80% hutang peneroka yang berjumlah 8.3 bilion.

3) Pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP).

Beliau menegaskan tiga perubahan besar yang dilakukan itu sangat memberi kesan yang baik kepada warga peneroka.

Hasil kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional memasarkan produk sawit dengan lebih meluas di pasaran dunia, maka kini peneroka menikmati harga buah tandan segar yang melonjak tinggi dalam tempoh yang lama, tulis Shahril lagi.

Beliau mengakhiri tulisannya dengan harapan mudah-mudahan seluruh warga peneroka Negeri Johor membuat pilihan yang bijak dalam PRN Johor pada 12 Mac nanti dengan mengundi calon Perikatan Nasional.

Beliau turut menitipkan doa dan mengajak semua bertawakal kepada Allah SWT agar usaha untuk menyatukan semua umat Islam akan termakbul dan seterusnya dapat menegakkan kerajaaan Islam yang sempurna.