Home Berita PAS Pahang

Usrah guru-guru PASTI IM diperkemas

284
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 9 Sept :: Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan Indera Mahkota, telah diselaraskan mengikuti usrah di bawah Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota (DMPIM).

Seramai tujuh puluh dari 136 orang guru PASTI di kawasan Indera Mahkota dibimbing oleh sepuluh orang Naqibah yang dilantik mengikut kumpulan-kumpulan yang telah ditetapkan, manakala selebihnya telah mengikuti usrah bersama Jawatankuasa Muslimat di cawangan masing-masing.

Ketua Lajnah Tarbiyah DMPIM Hamidah Daud mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Fadzilah Hamid yang telah memberi kerjasama dan komitmen yang baik sehingga berjaya menghimpunkan seramai 111 orang para guru di atas talian bagi mendengar taklimat penyelarasan usrah di bawah naungan DMPIM.

Beliau yang juga sebagai Timbalan Ketua Dewan Muslimat Negeri Pahang, seterusnya mengharapkan agar guru-guru PASTI dapat memberi komitmen yang baik untuk menghadiri usrah kerana sebagai seorang guru dan pemimpin, sangat memerlukan ilmu untuk berhadapan dengan masyarakat.

“Setiap kepenatan yang dirasai, Allah akan memberi ganjaran di akhirat, kerana penglibatan dengan jemaah bukan boleh dipandang secara lewa, ianya adalah Fardhu Ain, di samping mencari rezeki, kita wakafkan diri kita kepada masyarakat,” tambah beliau lagi.

Manakala Ketua DMPIM Salwani Salleh dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa guru-guru PASTI adalah penggerak secara langsung untuk melahirkan anak-anak yang soleh, berilmu dan beramal bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis, maka sayugialah sepatutnya guru-guru ini adalah orang yang pertama mendapat tarbiyah.

“Terdapat juga guru-guru PASTI yang memegang jawatan tinggi dalam Dewan Muslimat PAS, bukan saja di peringkat kawasan, malahan di peringkat pusat, bahkan mereka juga mengikuti usrah berbagai peringkat, di cawangan, kawasan, negeri dan ada di antara mereka adalah sebagai pembimbing usrah iaitu Naqibah.

“Ini menunjukkan bahawa guru-guru PASTI adalah orang-orang yang berkaliber, yang boleh maju ke hadapan. Maka marilah kita bersama-sama untuk meraih mardhatillah. Janganlah kita melepaskan peluang ini dengan pelbagai alasan sibuk, tak cukup masa, letih dan sebagainya.

“Kita perlu bersyukur di antara ramai-ramai orang, kita telah dipilih untuk mengikuti usrah. Kita perlu bersedia untuk dipimpin dan ditarbiyah oleh para naqibah yang telah dilantik,” kata Salwani.

Beliau seterusnya mengharapkan agar guru-guru PASTI dapat mengambil peluang ini untuk lebih mengenali PAS, dan bersedia menghadiri program-program yang diadakan untuk memantapkan diri  sebagai agen masyarakat yang mampu mengubah persepsi masyarakat yang mengatakan politik itu kotor.

Sementara itu, Fadzilah Hamid dalam ucapan aluannya melahirkan rasa teruja dengan usaha DMPIM agar guru-guru pasti ini terbimbing untuk mencapai satu fikrah yang lebih mantap dengan kefahaman yang jelas mengenai intipati perjuangan Islam.

“Usrah yang dibentuk di bawah naungan DMPIM ini akan menjadi contoh bagi kawasan yang lain, kerana kita adalah yang terawal melaksanakannya selain dari kawasan Paya Besar.

Taklimat dan penerangan mengenai perjalanan usrah juga dihadiri oleh para Naqibah yang akan memimpin usrah tersebut.