Home Rencana PAS Selangor

Usaha seimbangkan nyawa, kelangsungan hidup dan ekonomi menepati Islam – Setiausaha DUPNS

25
SHARE

May be an image of 1 person, sitting and text

Usaha Kerajaan Menseimbangkan Antara Nyawa, Kelangsungan Hidup Dan Ekonomi Menepati Islam – “Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor

Oleh : Muhammad Najhan Halim

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

FirmanNya dalam Al Qasas 77

وَٱبۡتَغِ فِیمَاۤ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡـَٔاخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِیبَ مِنَ ٱلدُّنۡیَاۖ وَأَحۡسِن كَمَاۤ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَیۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِی ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِین

Maksudnya, “..Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan..”.

Ayat diatas menerangkan bagaimana al Quran mendidik cara melakukan keseimbangan dalam tindakan yang tidak mensia-siakan serta mengabaikan salah satu daripada keduanya atau menganggap tidak penting.

Dunia dan akhirat dari sudut pandangan Islam memiliki kepentingan sendiri walaupun matlamat dunia itu ialah akhirat, tetapi dunia juga jambatan ke akhirat. Tanpa dunia, tidaklah kesampaian akhirat

Berkata Ulamak Siyasah Syariyyah (Sains Politik Islam) تصرف الإمام علي الرعية منوط بالمصلحة yang bermaksud, “tindakan atau keputusan Pemerintah ke atas rakyat hendaklah dibuat berasaskan maslahat.”

Urusan pemerintahan merupakan bidang yang memerlukan kekuatan ilmu, kefahaman dan keberanian untuk berijtihad (mengeluarkan pendapat) bagi membuat sesuatu keputusan yang besar dan tepat berdasarkan situasi dan semasa.

Dalam menghadapi situasi getir dan darurat negara ketika berdepan serangan pandemik COVID-19 ketika ini, ia sudah tentu situasi hb precedent yang belum pernah dilalui oleh mana-mana individu sebagai pemerintah dalam negara selama 100 tahun mahupun lebih. Tiada siapa yang layak mendabik dada bahawa dia berpengalaman berdepan dan situasi seumpama ini dan mampu memberi jaminan dapat menyelesaikannya.

Kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil alih daripada kerajaan PH yang gagal disebabkan perbuatan sendiri, terus diuji dengan wabak pandemik yang melanda seluruh dunia. Kes jangkitan seluruh dunia yang tinggi, kerugian pelbagai industri dan sektor ekonomi, terhenti pergerakan manusia, tiada aktiviti sosial, kehilangan nyawa dengan jumlah yang ramai dan pelbagai lagi tambahan pula dengan norma baharu yang janggal bagi kehidupan manusia sebelum ini.

Dalam pada itu, negara kita yang sedang melalui fasa ke 3 Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) kini sedang menuju ke arah Plan Pemulihan Negara untuk mengeluarkan negara dan rakyat daripada pandemik agar kehidupan manusia mampu diteruskan seperti sediakala dengan norma baharu.

Walaupun begitu, sudah tentulah pihak Kerajaan PN yang memperkenalkan slogan Kerajaan Perihatin sentiasa mengambil berat dan cakna dengan keperluan dan keadaan rakyat di samping menseimbangkan antara kelangsungan hidup rakyat dan juga ekonomi negara agar tidak terus berada dalam jurang kebinasaan sesudah pandemik.

Tanpa dinafikan bahawa situasi COVID-19 masih mengganas dengan jumlah bilangan kes mencecah lebih 13 ribu pada 14 Julai 2021, begitu juga jumlah kematian yang saban hari sentiasa ada, kerajaan perlu juga memastikan nyawa manusia tidak dipertaruhkan dan juga kelangsungan hidup manusia yang lain juga tidak diabaikan.

Sektor ekonomi yang esential (penting) dibenarkan operasi dengan SOP ketat demi kemaslahatan manusia dan sebahagian industri dibenarkan untuk menjamin ekonomi negara berdaya dan tidak lumpuh. Jikalau ekonomi negara lumpuh sesudah pandemik, keburukan akan bertambah yang bukan lagi disebabkan pandemik virus tetapi pandemik keganasan manusia kerana barangan keperluan.

Sebanyak lebih daripada RM 400 billion telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada rakyat terjejas hanya dalam tempoh yang singkat kerana memahami bahawa rakyat perlu kelangsungan hidup walaupun dengan ketidakselesaan dan ketidaksempurnaan.

Memastikan rakyat patuh dengan SOP pergerakan yang ketat demi menjaga nyawa yang merupakan aspek Maqasid yang utama sebagaimana ditekankan oleh Islam. Hatta Islam mengharuskan makan yang haram ketika darurat agar nyawa terjaga.

Walaupun sebahagian rakyat tidak mampu memahami keputusan ini, tetapi ia adalah keputusan berat dan terbaik yang perlu dilaksanakan. Jika tidak, entah bagaimana lagi keadaan buruk yang bakal menimpa negara.

Sesudah usaha ini, tiada lagi tempat kita bergantung melainkan Allah jua yang perlu kita letakkan. Dialah pemilik alam, Dialah penyembuh, Dialah pemberi rezeki.

Tawakkal kepadaNya dan mintalah pertolonganNya.

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor merangkap Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat

16 Julai 2021 | 06 Zulhijjah 1442H

Lajnah Penerangan & Media Baru

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor